X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

PGA rampas lebih RM1 juta rokok seludup

Sebanyak 884,400 batang rokok seludup pelbagai jenama ditemukan dalam kotak di bahagian belakang sebuah lori yang diparkir di hadapan sebuah premis di Taman Berlian, Batu Pahat, pada Jumaat.
A
A

BATU PAHAT - Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri merampas 884,400 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta selepas pemeriksaan sebuah lori di Taman Berlian di sini pada Jumaat.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, pemeriksaan pada jam 4.30 petang di hadapan sebuah premis di taman itu turut menahan pemandu lori warga tempatan berusia 22 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori jenis Hicom dan sebuah van jenis Toyota Hiace mengandungi kotak berisi pelbagai jenis rokok disyaki rokok seludup.

"Nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM1,194,194," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, serbuan itu turut melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tanpa cukai sekitar Batu Pahat dan Muar.

PGA Bakri merampas 884,400 batang rokok seludup pelbagai jenama dalam sebuah lori di hadapan sebuah premis di Taman Berlian, Batu Pahat, pada Jumaat.
PGA Bakri merampas 884,400 batang rokok seludup pelbagai jenama dalam sebuah lori di hadapan sebuah premis di Taman Berlian, Batu Pahat, pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam dan suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Salehin berkata, Batalion 6 PGA Bakri melakukan 13 serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sejak Januari hingga Sabtu.

Jelasnya, menerusi semua serbuan yang dijalankan, pihaknya melakukan 32 tangkapan berusia di antara 17 tahun hingga 56 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan melibatkan barang-barang kontraban.

"Antara barang-barang yang dirampas melibatkan rokok tidak bercukai, minuman keras, dadah, mercun dan kenderaan. Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM6,777,134," katanya.

Beliau menyeru agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam memberi segala jenis maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di sekitar kawasan mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!