Nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan

Anggota Maritim Malaysia melaksanakan SAR yang melibatkan sektor pencarian seluas 38.25 batu nautika persegi oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali. (Mohd Rafi dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan pada Rabu.)
Anggota Maritim Malaysia melaksanakan SAR yang melibatkan sektor pencarian seluas 38.25 batu nautika persegi oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali. (Mohd Rafi dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan pada Rabu.)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang nelayan berusia 37 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan pada Rabu.

Mangsa Mohd Rafi Omar, yang dipercayai keluar secara berseorangan itu telah dilaporkan hilang di kawasan 18.6 batu nautika dari Pantai Sabak, di sini pada jam 11.59 malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan jam 12.50 tengah hari pada Sabtu.

"Seramai 70 pegawai dan anggota daripada Maritim Malaysia Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah digerakkan dalam SAR ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, berpandukan kepada maklumat yang diberikan oleh ahli keluarga, kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna hitam.

Beliau berkata, mangsa juga dilaporkan telah memakai baju hujan berwarna hijau dan putih semasa turun ke laut.

Syed Nor Adli berkata, sebelum itu adik-beradik mangsa telah menggerakkan SAR sekitar lokasi Mohd Rafi biasa memancing namun usaha tersebut gagal.

"Kakak mangsa kemudian memutuskan untuk membuat laporan polis pagi tadi (Sabtu) dan SAR ini melibatkan sektor pencarian seluas 38.25 batu nautika persegi oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pangkalan hadapan SAR ini telah ditubuhkan di jeti Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak," katanya.