Sila log masuk terlebih dahulu.

AiVAC sasar 7,500 peladang MADA divaksin

Badrul Hisham (dua dari kiri) dan Ahmad Tarmizi (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin program AiVAC di Kompleks Latihan MADA, Alor Serdang, pada Sabtu.
Badrul Hisham (dua dari kiri) dan Ahmad Tarmizi (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin program AiVAC di Kompleks Latihan MADA, Alor Serdang, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) menyasarkan 7,500 peladang bagi kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pelaksanaan AiVAC adalah sebagai langkah pencegahan awal mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja industri agromakanan bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

Menurutnya, ia seterusnya diyakini dapat merancakkan semula sektor agromakanan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia susulan kerajaan telah meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai salah satu perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya selepas meninjau pelaksanaan projek rintis Program Outreach Vaksinasi anjuran MAFI melibatkan 1,000 peladang MADA di Kompleks Latihan MADA, Alor Serdang, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman serta pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi MAFI.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, program AiVAC melibatkan dua kategori, iaitu kumpulan sasar utama dan kumpulan sasar pemain industri terpilih.

“Kumpulan sasar utama program AiVAC adalah seramai 420,000 orang terdiri daripada pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri agromakanan kecil-kecilan warganegara Malaysia.

"Bagi kumpulan sasar pemain industri terpilih pula melibatkan 100,000 pekerja di syarikat dan persatuan dalam sektor agromakanan yang berdaftar dengan MAFI,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi kumpulan sasar utama, pemberian vaksin akan dilaksanakan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam PICK manakala bagi kumpulan sasar pemain industri terpilih, dilakukan menerusi pembukaan PPV Industri (PPVIN) dan PPV Bergerak.

“Pelaksanaan program AiVAC akan turut melibatkan seluruh jabatan dan agensi bawah MAFI sebagai tanda sokongan kepada kempen PICK dan Pelan Pemulihan Negara.

"Kita menetapkan sasaran tiga bulan untuk selesaikan program ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan rakyat,” katanya.