Ismail Sabri tinggalkan Istana Negara

Ismail Sabri meninggalkan Istana Negara selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri meninggalkan Istana Negara selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Kenderaan yang membawa beliau bersama Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dilihat keluar melalui pintu 1 Istana Negara kira-kita jam 3.25 petang tadi.

Beliau sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu sejak jam 10 pagi bagi melaporkan perkembangan terkini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 2.28 petang dengan kehadiran 30 tetamu jemputan.

Turut sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta beberapa pemimpin utama parti politik yang menyokong Ismail Sabri.

Pada Jumaat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akaun yang diterima Seri Paduka Baginda dan cukup untuk membentuk kerajaan baharu.

Berdasarkan titah Seri Paduka Baginda sebelum ini, Perdana Menteri yang baharu dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti.

Artikel Berkaitan:

Kemelut politik negara berulang apabila ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui negara sejak 1 Mei 2020 selaku Perdana Menteri kelapan telah meletak jawatan padapada 16 Ogos lalu.

Perdana Menteri sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH), juga berbuat sedemikian selepas hilang majoriti susulan tindakan beberapa ahli Parlimen berpaling menarik sokongan.