Ismail Sabri tiba di Istana Negara untuk angkat sumpah PM ke-9

Kenderaan yang membawa Ismail Sabri keluar dari kediaman beliau menuju ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini.
Kenderaan yang membawa Ismail Sabri keluar dari kediaman beliau menuju ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu.

Kenderaan yang membawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilihat memasuki pintu 2 Istana Negara pada jam 2.20 petang.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali diikuti Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tiba di Istana Negara pada jam 1.36 petang

Istiadat tersebut akan diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan kehadiran 30 tetamu jemputan.

Pada Jumaat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akaun yang diterima Seri Paduka Baginda dan cukup untuk membentuk kerajaan baharu.

Berdasarkan titah Seri Paduka Baginda sebelum ini, Perdana Menteri yang baharu dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti.

Kemelut politik negara berulang apabila Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui negara sejak 1 Mei 2020 selaku Perdana Menteri kelapan telah meletak jawatan pada 16 ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) turut berbuat sedemikian selepas hilang majoriti susulan tindakan beberapa ahli Parlimen berpaling menarik sokongan.