Tragedi kepala air: UPSI turun padang bantu mangsa

Pelajar terjejas menerima sumbangan barangan keperluan dari ResQ Team UPSI yang berkunjung ke lokasi terjejas di daerah Kuala Muda dan Yan.
Pelajar terjejas menerima sumbangan barangan keperluan dari ResQ Team UPSI yang berkunjung ke lokasi terjejas di daerah Kuala Muda dan Yan.
A
A
A

YAN - Seramai 20 sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan kakitangan dan mahasiswa turun padang membantu mangsa fenomena kepala air di Yan dan Kuala Muda.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, antara kawasan yang disinggah termasuk Kampung Setoi, Kampung Ruat, Kampung Permatang Gamat dan Kampung Titi Bakong di Daerah Yan manakala Kampung Sungai Badak di daerah Kuala Muda.

Menurutnya, misi bantuan yang turut mendapat kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) serta Universiti Awam Zon Utara itu memfokuskan kepada kerja-kerja pembersihan rumah pelajar, alumni dan masyarakat tempatan.

"Penubuhan ResQ Team bertujuan memupuk nilai keinsanan, kemanusiaan dan kesukarelawan dalam kalangan warga UPSI yang dapat mengukuhkan keperibadian dan keprihatinan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat ini, ResQ Team yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu berjaya menjalankan 40 misi bantuan ke beberapa negeri antaranya Melaka, Johor, Kedah, Pahang, Kelantan, Perak dan Terengganu yang ditimpa musibah serta bencana.

Seramai 20 sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan kakitangan dan mahasiswa turun padang membantu mangsa fenomena kepala air di Yan dan Kuala Muda.
Seramai 20 sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan kakitangan dan mahasiswa turun padang membantu mangsa fenomena kepala air di Yan dan Kuala Muda.

Sementara itu, Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pihaknya menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori bagi menjayakan misi berkenaan.

Menurutnya, sumbangan daripada Tabung UPSI Prihatin berbentuk beras, sabun, gula, milo dan minyak masak diagihkan kepada keluarga pelajar terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Kami turut berkesempatan membantu keluarga pelajar semester tujuh Fakulti Sains dan Matematik, Najihah Azizan di Kampung Singkir Genting yang turut terjejas,"katanya menerusi kenyataan sama.

Pakar Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata, adaptasi dan mitigasi bencana ini haruslah dilakukan dengan cepat agar kesan bencana dapat ditangani dengan segera.

Justeru, mana-mana pihak serta alumni UPSI yang ingin memberi sumbangan kepada ResQ Team boleh menghubungi Dr Norkhalid di talian 016-5100230.