Berpaut pada pokok ketika arus deras

Nicolas Sato menarik seorang wanita yang terperangkap dalam banjir kilat di Baja California Sur, Mexico baru-baru ini. - Foto Facebook/Yesica Cardenas
Nicolas Sato menarik seorang wanita yang terperangkap dalam banjir kilat di Baja California Sur, Mexico baru-baru ini. - Foto Facebook/Yesica Cardenas
A
A
A

BANDAR RAYA MEXICO - Seorang lelaki budiman, Nicolas Soto berjaya meredah arus deras bagi menyelamatkan seorang wanita yang berpaut pada sebatang pokok setelah terperangkap akibat banjir kilat di barat Mexico baru-baru ini.

Pada mulanya, wanita tersebut memandu kenderaan pikap bagi menyemberangi arus sungai San Bartolo di Baja California Sur, La Paz apabila air sungai melimpah disebabkan oleh hujan akibat Ribut Tropika sebelum ini.

Bagaimanapun, pikapnya gagal untuk bertahan menyebabkan kenderaan itu tidak lagi mampu bergerak dalam limpahan air sungai tersebut.

Ini menyebabkan wanita itu keluar dari kenderaannya dan berjalan menuju ke daratan dengan menempuh arus deras sebelum berhenti dan berpaut pada sebatang pokok.

Secara kebetulan Soto yang berada dekat sungai itu bersama keluarga dan sepupu lelakinya, Diego Soto kemudian menyedari terdapat seorang wanita sedang bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri.

Justeru, Soto bertindak berani berjalan ke arah wanita berkenaan dengan menempuh arus deras sungai tersebut dan berjaya membawanya ke daratan.

Wanita berkenaan kemudian ditarik oleh dua lagi lelaki lain ke daratan.

Menurut laporan akhbar El Heraldo de Mexico, wanita berkenaan kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. - Agensi

Artikel Berkaitan: