34 pasangan memadu kasih ditahan

Anggota JHEAT yang bertugas sedang mengambil maklumat daripada pasangan ditahan di Batu Buruk, di sini, malam tadi.
Anggota JHEAT yang bertugas sedang mengambil maklumat daripada pasangan ditahan di Batu Buruk, di sini, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 34 pasangan ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam Ops Didik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dua lokasi iaitu di Batu Buruk dan Pulau Warisan, di sini, malam tadi.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah berkata, semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun, selepas didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam kerana menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan muhrim.

Beliau berkata, semua yang ditahan dalam operasi bermula jam 9 hingga 12 malam itu akan dipanggil untuk sesi kaunseling di pejabat JHEAT, sebelum diberi amaran dan akan ditahan serta dikenakan tindakan jika terus mengulangi perbuatan sama.

"Jika mereka tidak hadir untuk sesi kaunseling, kita akan ambil tindakan susulan dan akan mendakwa mereka di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

"Bagi kesalahan itu, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

"Tetapi, jika mereka masih berdegil, kita akan membuat permohonan dengan mahkamah agar mengeluarkan waran tangkap kepada yang terlibat," katanya selepas ditemui di Pulau Warisan, di sini, malam tadi.

Azmi berkata, operasi berkenaan adalah yang pertama dilakukan dengan kerjasama JPJ dan AADK tahun ini dan operasi sama akan dijalankan berterusan bagi membendung gejala tidak sihat terutama membabitkan golongan muda.

"Kami akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan khusus bagi kalangan golongan remaja yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

"Tumpuan tindakan penguatkuasaan termasuk terhadap mereka yang menaiki motosikal bersama individu bukan muhrim, wanita berpakaian menjolok mata dan lelaki berpakaian seperti wanita," katanya.