Jumlah asnaf segera di Pulau Pinang meningkat

Amran
Amran
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang berlarutan sehingga kini mengakibatkan ramai orang yang terkesan, sekali gus menyebabkan peningkatan jumlah asnaf di Pulau Pinang.

Ikuti wawancara Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali bersama wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman mengenai kesan pandemik Covid-19 yang berlaku dan peranan yang dimainkan agensi berkenaan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

SINAR HARIAN: Boleh tuan kongsikan senario yang berlaku di Pulau Pinang dan statistik peningkatan asnaf di negeri ini berbanding tahun lalu atau sebelum berlakunya pandemik?

AMRAN: Pandemik Covid-19 memberi kesan signifikan dalam konteks pengurusan zakat. Tidak pernah berlaku sebelum ini satu suasana di mana peningkatan jumlah asnaf amat ketara. Kita boleh rumuskan bahawa peningkatan asnaf fakir miskin walaupun bersifat sementara dan dianggap sebagai miskin sementara atau istilah yang digunakan sebagai asnaf segera, ia perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

Mengikut statistik sebelum berlaku pandemik Covid-19 di seluruh negeri pada 2019 sebagai contoh, jumlah asnaf yang kita bantu di bawah pelbagai kategori khususnya fakir miskin keseluruhannya berjumlah kurang lebih 30,000 penerima.

Tetapi pada tahun 2020, berlaku peningkatan amat ketara. Kita telah membantu kira-kira 40,000 jumlah penerima. Kita percaya peningkatan 10,000 ini sebahagiannya disumbangkan golongan miskin sementara dan asnaf segera.

Jika ditanya mengenai perbandingan, memang berlaku peningkatan agak ketara. Memang kita jangkakan berlaku peningkatan dari segi penerima sebab situasi terkini masih tidak menentu. Kita masih menerima permohonan zakat daripada mereka yang kita percaya amat terjejas dengan pandemik Covid-19.

Boleh tuan kongsikan perkembangan terkini dua skim bantuan yang dilancarkan ZPP bagi membantu golongan terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh sebelum ini?

Artikel Berkaitan:

Sejak Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown diumumkan kerajaan pada 1 Jun lalu, kita telah melancarkan Skim Bantuan Khas untuk menghadapi situasi pandemik Covid-19. Selepas beberapa hari diumumkan, kita sudah buka permohonan.

Pada mulanya kita buka dalam tempoh sebulan bagi memastikan mereka yang terjejas dapat dibantu tapi kita melihat kes yang berlaku masih lagi tinggi. Maka, permohonan dibuka semula pada 9 Ogos dan ditutup 15 Ogos lalu. Diharap bantuan yang disediakan ini dapat disalurkan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini. Insya-ALLAH di Pulau Pinang kita akan pastikan golongan berkenaan akan kita bantu sebaik mungkin.

Bagi Skim Bantuan Khas Zakat Covid-19, kita sasarkan kepada pekerja gaji harian, pemandu teksi dan e-hailing, pemandu bas, van sekolah, peniaga pasar malam, pasar tani serta guru agama yang tiada majikan dan pendakwah bebas yang bertauliah, malah kita turut memberi bantuan kepada keluarga dijangkiti Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

No Image Caption

Walaupun peruntukan asalnya adalah sebanyak RM5 juta dengan anggaran mereka yang terjejas seramai 10,000 orang, kita telah membantu seramai 2,766 pemohon di seluruh negeri Pulau Pinang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.38 juta.

Jumlah ini secara progresifnya bergerak dan masih lagi bertambah dan itu hanyalah setakat 16 Ogos. Jumlah bantuan yang diberikan iaitu dengan kadar RM500 secara one-off.

Sementara bagi skim bantuan makanan kecemasan, kita telah menghantar bakul makanan kepada 5,867 keluarga seluruh negeri melibatkan perbelanjaan RM933,850. Peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan untuk skim bantuan ini dengan jangkaan melibatkan 10,000 keluarga.

Seramai 4,867 keluarga menerima bantuan ini daripada bajet ZPP sendiri, manakala 1,000 lagi menerima bantuan daripada kerjasama sumbangan Yayasan UEM. Yang terkini, kita bekerjasama dengan masjid-masjid daerah termasuk masjid negeri mulai Ogos ini dengan menyediakan 1,200 bakul makanan dan diletakkan terus melalui program gerobok rezeki atau food bank.

Adakah terdapat pakej bantuan lain yang sedang dirancang ZPP memandangkan Pulau Pinang kini dalam fasa 2 Pelan Pemulihan Negara dan banyak sektor yang telah dibenarkan beroperasi?

Terkini, kita bekerjasama dengan sebuah agensi korporat yang telah memilih ZPP sebagai rakan untuk memberikan bantuan.

Ia adalah satu skim bantuan khusus untuk peniaga kecil-kecilan yang perlu bangkit semula setelah berdepan pelbagai masalah semasa pandemik dan total lockdown baru-baru ini.

Insya-ALLAH maklumat itu kita akan berikan dari masa ke masa melalui platform media sosial kami. Pegawai kami di peringkat akhir sedang berbincang bagaimana bantuan ini dapat disalurkan khusus kepada golongan peniaga kecil.

Kita menyasarkan untuk membantu 350 peniaga yang bukan sahaja sebahagiannya terpaksa menutup perniagaan sebelum ini tetapi perniagaan merosot akibat daripada kekurangan pelanggan dan sebagainya.

Adakah situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan disebabkan pandemik dan PKP akan memberi kesan kepada kutipan zakat tahun ini?

Tahun lalu kita berjaya mengutip sebanyak RM130.8 juta. Ia melebihi sasaran yang disemak semula selepas mengambil kira trend kutipan yang agak merosot. Tahun ini bagi enam bulan pertama di peringkat awal, kita tidak menjangkakan ada total lockdown, jadi kita menyasarkan sasaran tahun lalu kita bawa ke tahun ini iaitu RM136 juta.

Adakah berlaku penyusutan yang ketara dalam kutipan zakat harta dan zakat pendapatan disebabkan pandemik?

Melihat perkembangan semasa, banyak syarikat dan perniagaan ditutup. Saya juga khuatir jumlah caruman untuk skim potongan gaji atau di Pulau Pinang kita sebut sebagai skim sakinah akan berlalu kemerosotan sebab biasanya setiap tahun peningkatan agak ketara dan kebelakangan ini peningkatannya agak sedikit. Ia melihatkan realiti semasa yang berlaku tetapi sekiranya perkara ini dapat diatasi, ekonomi kembali kepada landasan, jumlah ini akan meningkat kembali.

Apakah perancangan ZPP bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai untuk menunaikan kewajipan zakat dalam kalangan umat Islam di negeri ini?

Tahun ini dengan segala sekatan pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara yang telah menyediakan segala SOP yang perlu dipatuhi, kita melihat cara promosi melalui platform media sosial secara agresif sahaja yang dapat memberi kesedaran kepada orang ramai kerana pegawai-pegawai kami tidak dibenarkan bertemu dengan masyarakat di lapangan atau bertemu dengan pembayar zakat atau membuat ceramah dan sebagainya.

Kami mengadakan ceramah secara online untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai. Bagi tempoh yang ada ini, kita gerakkan sepenuhnya team komunikasi korporat untuk bertindak agresif mengadakan pengisian lebih kreatif. Ia bagi menarik perhatian masyarakat di luar sana untuk membayar zakat.

Kita berharap masyarakat sentiasa merujuk semua informasi melalui media sosial kita bagi mendapatkan maklumat termasuk mendapatkan bantuan. Kita terbuka menerima segala cadangan daripada masyarakat.

Sebagai penutup, mungkin tuan boleh kongsikan harapan dan iltizam ZPP bagi memastikan visi Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela?

Pertama, saya ucapkan terima kasih kepada pembayar zakat di negeri ini yang telah menunaikan kewajipan berzakat kepada ZPP. Setiap sen yang dibayar kepada ZPP, insya-ALLAH akan kami pastikan ia sampai kepada golongan yang layak dan golongan sasaran, apatah lagi dalam suasana pandemik, sememangnya kita memerlukan dana yang lebih besar untuk membantu golongan sasar.

Yang kedua, saya ingin menggesa masyarakat Islam untuk sentiasa memberikan kerjasama menyalurkan informasi kepada kami khususnya apabila bertemu golongan yang memerlukan bantuan. Janganlah bila bertemu, kita terus ambil peluang untuk mengkritik dan sebagainya.

ZPP sentiasa terbuka menerima cadangan orang ramai bagi memperkasakan dan mempelbagaikan agihan agar masyarakat Islam dapat dibantu termasuk mereka yang masih mengibarkan bendera putih.