Piala Thomas: Suku akhir tak mustahil

Aaron dan Wooi Yik menjadi taruhan Malaysia dalam acara beregu pada Piala Thomas kali ini.
Aaron dan Wooi Yik menjadi taruhan Malaysia dalam acara beregu pada Piala Thomas kali ini.
A
A
A

SKUAD badminton negara dijangka tidak menghadapi masalah mara ke peringkat suku akhir Piala Thomas 2020 yang bakal berlangsung di Aarhus, Denmark pada Oktober depan.

Bagaimanapun, mereka wajib melepasi salah satu daripada dua halangan utama - Jepun dan England yang turut diundi dalam Kumpulan D selain Kanada.

Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, Jepun dan England akan menjadi ancaman terbesar Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan.

Roslin
Roslin

“Kalau tengok pada undian, sasaran untuk berada pada kedudukan kedua peringkat kumpulan boleh dikatakan agak realistik. Ia menggambarkan kekuatan Malaysia ketika ini, baik dalam acara perseorangan mahupun beregu.

“Untuk perseorangan, kita masih mengharapkan Lee Zii Jia dan beregu, hanya ada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Jadi kita perlukan dua lagi pemain perseorangan dan satu beregu yang benar-benar solid untuk mewakili Malaysia pada Piala Thomas nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann optimis skuad lelaki negara berpeluang cerah melangkah ke suku akhir dengan menduduki dua tangga teratas Kumpulan D.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Roslin berkata, barisan kejurulatihan negara yang diketuai Choong Hann perlu menyediakan barisan pemain terbaik bagi menghadapi Piala Thomas kali ini.

“Saya percaya BAM sudah mempunyai gambaran pemain yang akan menggalas cabaran pada Piala Thomas nanti. Jadi dengan masa yang ada ini, BAM harus membuat penelitian yang betul.

“BAM juga harus mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan khususnya Jepun dan England. Jepun mungkin diletakkan sebagai pilihan tetapi Malaysia tak boleh kalah dengan England jika mahu ke suku akhir,” ujarnya.

Pada masa sama, Roslin berkata, kesemua pemain yang bakal dipilih nanti perlu menjalani latihan dengan intensiti yang tinggi sebagai persediaan untuk berdepan dengan pemain lawan.

“Bagi saya, ia (latihan) sedemikian penting kerana pemain-pemain kita bakal berdepan dengan lawan yang bukan calang-calang terutamanya dari Jepun,” jelasnya.