X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Tiga pesakit Covid-19 lari dari pusat kuarantin

PKRC Kompleks Rakan Muda di Kamunting yang dibuka sejak Isnin lepas bagi menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua. Gambar kecil: Osman
A
A

TAIPING - Tiga lelaki yang juga pesakit Covid-19 bertindak melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kompleks Rakan Muda di Kamunting di sini pada Rabu.

Lelaki berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu sepatutnya perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari di PKRC terbabit selepas disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pembantu perubatan menyedari kehilangan mereka semasa proses pendaftaran pesakit dilakukan kiar-kira jam 7.15 malam.

Bagaimanapun, katanya, dua daripada tiga lelaki yang melarikan diri itu berjaya ditahan semula selepas polis mendapat maklumat mereka bersembunyi di dalam stor di sebuah rumah di Kamunting.

"Sekitar jam 11 malam hari yang sama, Balai Polis Kamunting menerima maklumat terdapat dua lelaki sedang bersembunyi di bahagian belakang sebuah rumah.

"Bertindak atas maklumat itu, polis tiba di tempat kejadian. Setelah mengesahkan identiti pesakit berkenaan, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipanggil untuk urusan mengambil kedua-dua pesakit itu.

"Mereka dibawa semula ke PKRC Kompleks Rakan Muda untuk menjalani kuarantin," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lagi pesakit yang masih menghilangkan diri.

Katanya, usaha giat kini dijalankan bagi mengesan keberadaan pesakit terbabit.

Maklumat berkaitan tiga pesakit melarikan diri itu tular di aplikasi WhatsApp yang antara lain meminta penduduk setempat di sekitar kawasan PKRC itu berhati-hati sekiranya keluar rumah.

Dalam mesej itu, dimaklumkan bahawa tiga pesakit berkenaan telah pergi ke pasar, bank dan kedai sekitar Kamunting sebelum menghilangkan diri.

Osman bagaimanapun menafikan pesakit-pesakit berkenaan berkeliaran di kawasan tumpuan awam sepertimana mesej tular terbabit.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

PKRC Kompleks Rakan Muda di Kamunting yang baru beroperasi pada Isnin merupakan pusat kuarantin kedua terbesar di Perak.

Ia boleh memuatkan sehingga 780 katil dan dibuka bagi menempatkan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!