Ladang ternakan ayam dikompaun sebabkan pencemaran sungai

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JELEBU - Sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning Selatan, Gemencheh, Tampin dikompaun RM500 selepas didapati menyebabkan pencemaran air Sungai Air Kuning, 8 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir berkata, kompaun kepada pemilik ladang itu dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan mengikut Seksyen 16(1)(b) Enakmen Kawalan dan Pelesenan Penternakan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas 1996 kerana melepaskan sisa kumbahan unggas ke dalam sungai, parit, anak air dan lain-lain.

"Nilai tersebut ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kerjasama baik telah diberikan oleh pihak ladang dalam menangani isu ini (pencemaran air)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada bekas pesara polis dan tentera di Kuala Klawang di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Bakri berkata, kerja pembersihan sungai berkenaan telah diselesaikan pemilik ladang dalam tempoh tujuh hari selepas pihaknya melakukan lawatan mengejut di lokasi itu pada 9 Ogos.

Media sebelum ini melaporkan sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning Selatan, Gemencheh, diberi tempoh seminggu untuk membersihkan sistem kumbahan yang dikesan menyebabkan pencemaran air di Sungai Air Kuning. -Bernama

Artikel Berkaitan: