Muhyiddin sahkan ahli Parlimen PN calonkan Ismail Sabri

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen dari parti gabungan itu sebulat suara mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan PN yang baharu secara bersyarat.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 31 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 Pas, satu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan empat bebas pro-PN.

Menurutnya, beliau juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan itu demi menjamin kesinambungan dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk mengembalikan mandat rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

“Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, beliau akan meneruskan khidmatnya kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU15 yang akan datang.