Dua rakan sekerja mengaku tidak bersalah pecah amanah

Dua wanita yang juga rakan sekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah dengan menulis nama penerima cek yang tidak bekerja atau berurusan dengan sebuah syarikat bermula Januari lalu.
Dua wanita yang juga rakan sekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah dengan menulis nama penerima cek yang tidak bekerja atau berurusan dengan sebuah syarikat bermula Januari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua wanita yang juga rakan sekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah dengan menulis nama penerima cek yang tidak bekerja atau berurusan dengan sebuah syarikat bermula Januari lalu.

Norzaeti Fahima Zakaria, 35, dan Hawah Hakam, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa masing-masing bekerja sebagai pegawai eksekutif pentadbiran dan pegawai akaun eksekutif untuk Syarikat CD Car Care Sdn Bhd diamanahkan sesuatu harta iaitu telah menulis nama penerima cek yang tidak bekerja atau tidak pernah berurusan dengan syarikat berkenaan.

Mereka telah membuat pembayaran kepada individu tersebut yang telah menyebabkan kerugian kepada pihak syarikat.

Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat CD Car Care Sdn Bhd di Taman Perindustrian IKS Batu Caves, pada 28 Januari, 27 dan 29 Mac serta 14 April lalu.

Atas kesalahan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada 14 tahun dan sebat dan bolehlah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, Norzaeti yang diwakili peguam, Nik Zarith Nik Mustapha, manakala Hawah oleh peguam, John Das, merayu agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar minima dengan alasan perlu menanggung keluarga.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.