Rombongan kedua ahli Parlimen Bersatu tiba di Istana Negara

 Sebuah bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen Bersatu dan Bebas dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
Sebuah bas yang membawa masuk beberapa ahli Parlimen Bersatu dan Bebas dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bas yang membawa 'rombongan' kedua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiba di Istana Negara melalui Pintu 2 pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Antara yang kelihatan berada di dalam bas yang disewa khas itu ahli Parlimen Jeli; Datuk Seri Mustapa Mohamed, ahli Parlimen Titiwangsa; Datuk Seri Rina Mohd Harun, ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan beberapa individu yang tidak dapat dikenal pasti.

Sebelum itu, bas pertama yang membawa ahli Parlimen Bersatu dan Bebas keluar daripada Istana Negara pada jam 11.49 pagi.

Antara ahli Parlimen Bersatu yang dilihat berada di dalam bas yang disewa khas itu ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar serta Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien daripada Bebas.

Sebelum itu, bas yang dinaiki ahli Parlimen berkenaan tiba di Istana Negara pada jam 10.45 pagi.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan ahli-ahli Parlimen daripada GPS, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ke Istana Negara pada jam 10 pagi pada Khamis.

Difahamkan kehadiran ahli-ahli Parlimen pro-PN itu untuk mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Sesi menghadap ahli-ahli Parlimen itu dijadualkan berlangsung dalam lima sesi berasingan mengikut parti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Jam 4 petang pada Rabu merupakan tempoh terakhir untuk semua ahli Dewan Rakyat menghantar SD nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi.

Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.