Banjir di Yan: Muslim Care gerak bantuan awal bantu penduduk terjejas

Lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di dua kawasan itu dinaiki air hingga merosakkan kawasan tersebut.
Lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di dua kawasan itu dinaiki air hingga merosakkan kawasan tersebut.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) akan menggerakkan bantuan awal kepada penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku susulan fenomena kepala air di Yan pada petang Rabu.

Duta Muslim Care, Natipah Abu berkata, NGO itu telah menempah sebuah lori untuk menghantar air mineral dan sebuah lagi bagi roti untuk dibekalkan kepada penduduk yang mungkin terputus bekalan makanan terutama di kawasan yang terjejas teruk.

“Insya-ALLAH, bekalan akan sampai esok pagi dan kita akan agihkan kepada kawasan yang terjejas dan kita juga akan membuat tempahan makanan untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan yang terlibat.

“Ini adalah bantuan awal kita memandangkan kejadian ini berlaku secara mengejut, mungkin selepas ini kita akan bincangkan bantuan lain untuk penduduk yang terjejas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengumpulkan sukarelawan Muslim Care seramai mungkin di Kedah bagi menggerakkan bantuan itu dan bantuan lain.

Bagaimanapun, Natipah berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, jika NGO itu tidak dibenar menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk, pihaknya akan meminta pertolongan pasukan keselamatan untuk berbuat demikian.

“Kita juga mungkin akan menyerahkan bantuan kepada pusat-pusat bencana yang diwujudkan oleh pihak berkuasa untuk diagihkan kepada penduduk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Natipah juga berkata, rumahnya yang terletak di Gurun dan berhampiran kawasan terjejas akibat bencana itu akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan bantuan NGO tersebut sebelum diagihkan kepada penduduk. - Bernama