PH terbuka terima semula ahli Parlimen pernah berpaling tadah

Mahfuz hadir menandatangani akuan bersumpah dalam mencalonkan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di Alor Setar pada Rabu.
Mahfuz hadir menandatangani akuan bersumpah dalam mencalonkan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) sentiasa membuka ruang kepada mana-mana ahli Parlimen yang berpaling tadah selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket parti itu untuk kembali semula.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PH terbuka untuk menerima kembali pemimpin tersebut, sekali gus dapat menyokong calon Perdana Menteri kesembilan daripada gabungan berkenaan.

Beliau berkata, peluang keinsafan sentiasa diberikan kepada pihak yang terlanjur dalam tindakan sehingga mengabaikan mandat diberikan rakyat.

"Itu yang terbaik, setiap orang ada kesilapan dan setiap orang diberikan peluang keinsafan untuk kembali kepada mandat rakyat.

"Bagi saya, adalah wajar untuk mereka yang mungkin terlanjur dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat tempoh hari, harus kembali bersama PH.

"Insya-ALLAH untuk kita bina kembali negara, kita akan terima mereka dengan hati terbuka, tidak ada masalah," katanya ketika ditemui selepas menandatangani akuan bersumpah bagi pencalonan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di sini pada Rabu.

Pada Isnin, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempelawa semua ahli Parlimen yang keluar daripada PH agar kembali kepada gabungan tersebut.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, keputusan PH untuk mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan langkah paling tepat untuk mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Beliau (Anwar) merupakan orang yang bebas daripada legasi kleptokrat, legasi khianat, legasi kerajaan gagal, legasi penderhakaan serta legasi tidak menghormati asas-asas dalam perlembagaan kita.

"Saya berharap akan ada pertambahan daripada pihak tertentu yang akan memberikan sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri," katanya.