Ismail Sabri dipilih kerana pengalaman, kekananan dalam parti

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan UMNO memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri dibuat dengan mengambil kira pengalaman dan kekananan beliau di dalam parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ia selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak namanya dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Beliau berkata, keputusan Ahmad Zahid itu juga disifatkan sebagai tindakan terpuji dan berjiwa besar.

"Jadi, kita (UMNO) harap akan ada rundingan dalam kalangan (parti) komponen Perikatan Nasional (PN).

"Apa yang diputuskan Barisan Nasional (BN) dan UMNO ialah membawa nama Ismail Sabri (sebagai calon Perdana Menteri)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ditanya mengenai mesyuarat yang berlangsung pada malam Selasa bagi membuat ketetapan calon Perdana Menteri itu, Mohd Razlan berkata, ia berjalan dengan harmoni tanpa wujud kem tertentu.

Datuk Mohd Razlan
Datuk Mohd Razlan

Jelas beliau, harapan UMNO ialah ingin melihat calon Perdana Menteri daripada parti yang berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam perkara berkaitan pentadbiran khususnya mentadbir negara, pengalaman merupakan asas utama dan penting.

"Kalau ditanya pendapat saya, sudah tentu kita mahukan calon Perdana Menteri daripada UMNO kerana parti kita mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara," jelas beliau.

Pada awal pagi Rabu, Ahmad Maslan mengesahkan UMNO dan BN akan meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Ahli Parlimen diberikan masa sehingga jam 4 petang Rabu untuk menyerahkan surat akuan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (Bersara) Nazim Mohd Alim.