KOM rancang anjur kejohanan antarabangsa

SM Muthu
SM Muthu
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan satu kejohanan antarabangsa pada November depan selepas terkesan dengan penundaan dan pembatalan beberapa kejohanan dan temasya sukan berikutan pandemik Covid-19.

Malah menurut presidennya, Datuk SM Muthu, cadangan penganjuran kejohanan berintensiti tinggi dan kompetitif itu adalah sebagai platform kepada atlet negara membuat persiapan awal bagi menghadapi beberapa temasya sukan tahun depan.

“KOM sekali lagi akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat untuk menganjurkan satu kejohanan antarabangsa yang dijangka diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sebelum ini pun KOM sudah merancang beberapa kejohanan tempatan dengan pematuhan tinggi terhadap prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh MKN, namun penganjuran terpaksa dibatalkan disebabkan faktor Covid-19.

“Sejujurnya, ingin saya tegaskan di sini sekali lagi KOM akan memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan serta situasi semasa pandemik dalam negara sebelum memutuskan menganjurkan sebarang kejohanan.

“Jadi saya amat berharap kadar kes Covid-19 akan mengalami penurunan dalam tempoh beberapa bulan ini bagi membolehkan komuniti olahraga kembali semula beraksi di trek dan balapan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Mengenai usaha KOM menyertai kejohanan luar negara selepas kali terakhir mengambil bahagian di Kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, Jun lalu, Muthu berkata, perkara sedemikian sememangnya berada dalam perancangan badan induk olahraga negara tersebut.

“Buat masa ini kami sedang melihat dan mengkaji beberapa pertandingan yang akan berlangsung di luar negara dalam masa terdekat, dan saya akui kejohanan di Kazakhstan, Jun lalu, sedikit sebanyak 'mengubat kerinduan' dalam kalangan atlet yang sudah tidak lama beraksi di pentas kompetitif,” katanya.

Artikel Berkaitan: