Laburkan wang, jangan simpan

Wang yang dilaburkan mampu menjana pendapatan pasif menerusi dividen yang diterima dan tidak mustahil, menjadikan impian satu kenyataan apabila cukup jumlah yang dikumpulkan
Wang yang dilaburkan mampu menjana pendapatan pasif menerusi dividen yang diterima dan tidak mustahil, menjadikan impian satu kenyataan apabila cukup jumlah yang dikumpulkan
A
A
A

Ramai antara kita membiarkan sahaja wang gaji dalam akaun simpanan, malahan ada yang mempunyai ribuan hingga puluhan ribu ringgit dalam akaun berkenaan dan dibiarkan sahaja dari bulan ke bulan dan dari tahun ke tahun.

Alasannya mudah sahaja iaitu wang dalam akaun simpanan atau di rumah, lebih mudah diakses jika ada sebarang kecemasan.

Ada juga yang tidak melabur kerana bimbang akan menanggung kerugian atau wang berkenaan sukar dikeluarkan waktu memerlukan, jadi mereka memilih untuk membiarkan sahaja wang tidur lena dalam akaun simpanan.

Sikap ini sangat merugikan kerana akaun simpanan sebenarnya tidak memberi dividen sedangkan wang yang dilaburkan mampu menjana pendapatan tambahan atau pendapatan pasif jika diurus dengan strategi yang betul.

Nilai wang yang tidak dilaburkan juga semakin mengecil akibat inflasi yang mana kuasa beli pengguna semakin kecil. Sebagai contoh, secawan teh tarik dijual pada harga 50 sen pada sekitar 80-an, tetapi kini harganya meningkat kepada RM1.50.

No Image Caption

Justeru kita perlu melabur untuk melindungi nilai wang daripada terus mengecil dan kita menanggung kerugian tanpa disedari.

Artikel Berkaitan:

Untuk memulakan pelaburan, ketepikan sedikit daripada gaji untuk melabur setiap bulan dan pastikan wang yang ditinggalkan dalam akaun simpanan cukup untuk menikmati kehidupan yang selesa supaya kita tidak berbelanja melebihi kemampuan.

Sekiranya pelaburan dilakukan secara konsisten untuk jangka panjang, kuasa faedah kompaun akan mengembangkan pendapatan pasif ini untuk membolehkan kita membina tabungan kukuh.

Antaranya ialah dengan melaburkan wang berkenaan dalam instrumen pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau unit amanah harga tetap ASNB yang lain atau deposit tetap.

No Image Caption

Jika lebih berani mengambil risiko, pelaburan boleh dilakukan dalam pasaran saham, hartanah ataupun emas untuk menjana pulangan lebih tinggi.

Untuk melabur, perkara paling penting ialah bagaimana pendapatan diuruskan, bukannya berapa banyak wang atau pendapatan yang diterima. Jangan pula kita menjadikan pepatah lama, lebih besar periuk lebih besarlah keraknya sebagai alasan untuk berbelanja dan berhutang tanpa pertimbangan yang rasional.

Antara kaedah paling mudah untuk melabur ialah dengan melakukan pelaburan secara automatik setiap bulan atau secara dalam talian menerusi kemudahan-kemudahan yang disediakan ASNB menerusi myASNB atau kemudahan perbankan Internet yang lain seperti Maybank2u dan CIMBClicks.

Setiap kali gaji masuk, tetapkan pelaburan automatik antara 5 hingga 10 peratus daripada gaji terus ke dalam akaun pelaburan pilihan. ASNB membenarkan pelaburan serendah RM30 setiap bulan menerusi Auto Labur di portal myASNB.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, dan anda mungkin akan terkesima dengan jumlah pelaburan terkumpul yang dilakukan secara automatik ini kerana anda tidak perlu pun bersusah payah untuk menjana pendapatan tambahan.