Kertas siasatan pesta di balai dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hukuman setimpal akan dikenakan terhadap ketua balai berpangkat sub inspektor dan tiga orang anggotanya yang ditangkap ketika berpesta di dalam balai polis di daerah Kajang pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau apa sahaja perbuatan yang melanggar undang-undang.

“Hasil siasatan mendapati beliau tidak terlibat dengan mana-mana sindiket.

"Kita sudah rujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan lanjut masih dalam kajian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media maya pada Selasa.

Arjunaidi Mohamed
Arjunaidi Mohamed

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang ketua balai bersama tiga orang anggotanya ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman semasa sedang leka berpesta bersama empat wanita awam.

Dalam serbuan jam 6 petang itu, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum malah ketua balai tersebut didapati positif dadah jenis ganja.

Sementara itu, beliau mengesahkan seramai 75 anggota dan pegawainya ditahan dan digantung kerja kerana terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah, dari 2017 hingga 2020.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan rekod dalam tempoh empat tahun itu, seramai 59 orang ditahan kerja dan 16 orang digantung kerja.

"Bagi tahun ini pula, sehingga Julai seramai 16 orang keseluruhannya (terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah).

"Dari segi jumlah yang ada menunjukkan kami mengambil tindakan yang tegas atas semua salah laku dan kita tidak pernah kompromi atau ambil ringan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesta di balai: Siasatan jenayah dan tatatertib dijalankan

[VIDEO] 3 anggota, seorang pegawai ditahan 'berpesta' dalam balai polis

[DIKEMASKINI] Berpesta di balai: Ketua balai positif ganja ditahan kerja