Kerajaan baharu perlu lebih baik atau bakal dihukum

Antara nama pemimpin politik yang menjadi sebutan untuk menjadi calon Perdana Menteri ialah (dari kiri:) Tengku Razaleigh, Anwar, Hishammuddin dan Ismail Sabri.
Antara nama pemimpin politik yang menjadi sebutan untuk menjadi calon Perdana Menteri ialah (dari kiri:) Tengku Razaleigh, Anwar, Hishammuddin dan Ismail Sabri.
A
A
A

BUKAN satu kerja mudah untuk sesiapa sahaja yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan ketika negara sedang berhadapan dengan tiga krisis iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

Banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak 18 bulan lalu.

Tidak dinafikan ada kelemahan dalam pentadbiran kerajaan PN, namun usaha yang dilakukan harus mendapat pujian.

Justeru, kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti perlu dapat melakukan lebih baik baik daripada PN dan kegagalan untuk berbuat demikian akan memberikan kesan yang amat buruk.

Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin sah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri apabila gagal mendapatkan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Warkah peletakan jawatan itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejurus selepas beliau selesai mengadakan mesyuarat kabinet terakhirnya pada pagi yang berlangsung hampir tiga jam.

Susulan itu, Istana Negara mengesahkan Muhyiddin dan seluruh kabinetnya telah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam kenyataannya berkata, berikutan peletakan jawatan tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda turut berpendirian bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin ketika perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen pada petang Isnin berkata, keputusan dan tindakan diambil itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan selepas beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berharap agar kerajaan baharu dapat dibentuk segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

Dalam pada itu, beliau dengan nada optimis berkata, program vaksinasi yang sedang dijalankan, Malaysia dijangka boleh keluar daripada krisis pandemik yang dialami ketika ini dalam masa terdekat apabila rakyat disasarkan mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini.

Sebagai nakhoda bahtera PN, beliau menamatkan pelayaran walaupun belum sampai ke destinasi yang diinginkan.

Kini negara sedang menanti nakhoda baharu untuk membawa Malaysia keluar dari gelombang yang amat ganas.

Antara nama pemimpin politik yang menjadi sebutan untuk menjadi calon Perdana Menteri ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Nama lain yang turut dicanang ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan veteran politik iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Untuk menjadi Perdana Menteri, mereka memerlukan sokongan majoriti mudah daripada 111 ahli Parlimen bagi menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Tanpa membuang masa, beberapa parti politik utama negara; antaranya UMNO, Pas, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengadakan mesyuarat khas pada petang Isnin bagi membincangkan hala tuju masing-masing.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Isnin mengesahkan parti itu akan mengemukakan beberapa nama sebagai calon.

Namun sorotan penting pada hari ini ialah Istana Negara mula memanggil ketua-ketua parti parti politik bermula 2 petang untuk menghadap Seri Paduka Baginda dalam usaha membentuk kerajaan baru.

Sinar Harian dimaklumkan, proses tersebut akan bermula hari ini sehingga Seri Paduka Baginda berpuas hati satu jajaran baru telah dibentuk dengan majoriti yang mencukupi untuk seorang ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah secepat mungkin sebagai Perdana Menteri baharu.