Nenek gagoh!

Azizah
Azizah
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita berusia 78 tahun boleh digelar nenek 'gagoh' (kuat) apabila terselamat dan berada dalam keadaan stabil selepas diserang sejumlah 175 ekor lebah dalam kejadian di Kampung Guchil, Kuala Krai.

Hasmah Mamat mengalami bengkak di bahagian muka, mata, kepala dan tangan, namun tahap kesihatannya dalam keadaan stabil dan masih boleh bercakap seperti biasa.

Anak tunggal mangsa, Mohd Rizal Yusoff, 40, berkata dia yang bekerja sebagai pemandu pelancong ketika itu berada di Gunung Stong, Dabong dan menerima panggilan daripada sepupu yang memaklumkan kejadian itu.

Menceritakan kembali, katanya, kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi ketika mangsa menyapu sampah di bahagian hadapan rumah mereka.

No Image Caption

Katanya, ketika sedang menyapu itu, Hasmah yang rabun terlihat tompokkan hitam sekumpulan lebah dan pada mulanya disangkakan sarang labah-labah pada lampu hadapan rumah.

“Sebaik saja ibu sapu sarang lebah itu, ratusan lebah terus menyerangnya dan menyegat mangsa pada bahagian muka, kepala, tangan serta seluruh badan.

“Dalam keadaan kekalutan itu, ibu sempat berlari sejauh 20 meter ke rumah saudara sambil menjerit meminta pertolongan sepupunya,” katanya kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rizal berkata, sepupu ibu, Azizah Ali, 70, bersama anaknya kemudian membantu mengibas lebah-lebah itu sebelum bergegas membawa mangsa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut.

“Sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, saya pula bergegas ke hospital untuk melihat keadaan ibu.

“Alhamdullillah, keadaannya stabil selepas pihak hospital mencabut semua lebah-lebah yang melekat pada badan ibu dan ibu selamat serta boleh bercakap, tetapi masih dirawat dan di bawah pemantauan pihak hospital,” katanya.