Hon kereta bertalu-talu, rumah jiran rupanya sedang terbakar

Anggota bomba dari BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor memadamkan kebakaran sebuah rumah di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan. Foto bomba
Anggota bomba dari BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor memadamkan kebakaran sebuah rumah di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan. Foto bomba
A
A
A

TUMPAT - Bunyi hon kereta bertalu-talu mengejutkan seorang jururawat sebelum menyedari rumah jiran di hadapan kediamannya terbakar dalam kejadian di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan di sini pada Isnin.

Suriani Ismail, 46, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.55 malam, dia sedang mengajar anaknya membaca sebelum terdengar bunyi hon kereta berkali-kali.

“Saya kemudian menyelak langsir untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila melihat api sudah marak.

“Saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan bomba kerana api ketika itu sudah terlalu besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Api marak memusnahkan sebuah rumah di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan, Tumpat pada Isnin. Foto bomba
Api marak memusnahkan sebuah rumah di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan, Tumpat pada Isnin. Foto bomba

Menurutnya, penyewa rumah berkenaan, seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an yang tinggal bersendirian, sempat menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan jiran.

Suriani berkata, bunyi hon itu dibunyikan jiran yang tinggal bersebelahan rumah mangsa bagi menarik perhatian penduduk lain, sambil mengalihkan kenderaannya.

“Masa saya keluar melihat keadaan, saya nampak penduduk cuba bantu padam api guna dua alat pemadam.

“Tapi tak berjaya sebab api terlalu marak membakar rumah setingkat itu,” ujarnya.

Suriani yang bertugas sebagai jururawat di Wakaf Bharu berkata, pengalaman berdepan kejadian kebakaran rumah jiran sebelum ini membuatkannya lebih peka dan segera mendapatkan bantuan kecemasan.

“Dalam kejadian sebelum ini, rumah jiran di sebelah kediaman saya turut terbakar, tetapi api hanya melibatkan bahagian dapur kerana bantuan dapat diminta dengan segera,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.24 malam dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Foto bomba
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.24 malam dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Foto bomba

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Nasrun Mohamad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.

“Jentera BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor tiba di lokasi pada jam 10.03 malam.

“Usaha memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 70 peratus,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran air daripada jentera BBP Tumpat dan dua lagi aliran air daripada jentera BBP Pengkalan Kubor bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.24 malam dan kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!