5 wanita warga asing mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyelamatkan lima wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, sepasukan anggota polis telah membuat pemerhatian dan mendapati wujud aktiviti eksploitasi seks melibatkan wanita warga asing di dua unit rumah pada jam 4 petang.

"Kita telah membuat pemeriksaan di salah sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan menjumpai tiga wanita di ruang tamu rumah berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Basri berkata, pemeriksaan di rumah kedua pada jam 5.20 petang pula, pihaknya mendapati tiga lelaki termasuk dua pelanggan berada di ruang tamu rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai dua wanita di dua bilik tidur yang berasingan," katanya.

Beliau berkata, dua lelaki itu ditahan untuk penyiasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Kedua-dua suspek itu telah direman selama dua hari bermula Ahad sehingga Isnin manakala dua lelaki berusia 32 tahun yang merupakan pelanggan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk membantu siasatan," katanya.

Basri berkata, lima wanita berusia 19 hingga 46 tahun itu disyaki telah tinggal di unit kediaman itu sejak seminggu yang lalu dan bekerja sebagai pelacur.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mempunyai akses keluar dan masuk rumah, mempunyai telefon bimbit, mereka turut memaklumkan tidak pernah dikasari sepanjang tinggal di rumah berkenaan," katanya.

Basri memaklumkan, pihaknya turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam aktiviti eksploitasi seks seperti minyak pelincir pelbagai jenama, beberapa helai tuala, kondom, wang tunai, telefon bimbit pelbagai jenama dan lain-lain rampasan yang relevan dengan kes tersebut.