X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Sungai Galing bakal dinaiktaraf seperti Sungai Melaka

Abd Rahim melakukan balingan Em mudball pada program itu pada Ahad.
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengairan Saliran (JPS) telah mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek pemulihan Sungai Galing dan menaiktaraf kawasan rekreasi di sekitarnya.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, permohonan peruntukan itu dijangka mampu memulihkan infrastruktur di kawasan sekitar sungai terbabit.

Menurut beliau, peruntukan itu bukan sahaja digunakan untuk menaiktaraf kawasan berhampiran Sungai Galing, sebaliknya turut melaksanakan kerja-kerja mendalamkan semula sungai sepanjang 22.7 kilometer.

"Kita mahu pulihkan sungai ini. Kalau boleh kita hendak capai satu standard seperti di Sungai Melaka. Sebelum ini, Sungai Melaka menghadapi cabaran sama iaitu pencemaran sungai, tapi ia dapat dipulihkan.

"Mengambil contoh Sungai Melaka itu, kita berharap mampu memulihkan Sungai Galing menjadi satu kawasan rekreasi kepada masyarakat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Pemulihan Sungai Galing balingan Em mudball di Sungai Galing pada Ahad.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Sebelum itu, Hamdan memaklumkan punca pencemaran Sungai Galing disebabkan sistem kumbahan lama dari kawasan perumahan, premis perniagaan dan industri di sekitar kawasan terbabit.

Menurut beliau, pencerobohan dan penempatan haram di sepanjang rizab sungai itu antara penyebab selain penambahan struktur bangunan sehingga berlaku pencerobohan pada tahan rizab sungai.

Tambahnya, tindakan pengusaha premis yang berhampiran sungai terbabit yang melakukan aktiviti pembuangan sampah berjadual dan sampah terkumpul oleh individu tidak bertanggungjawab juga dikesan di samping berlakunya keruntuhan tebing sungai.

"Ini antara punca yang dikesan dan disebabkan itu kita mahu lakukan pemulihan Sungai Galing dan kawasan sekitarnya mengikut Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuantan 2035 dan mencadangkan kawasan ini sebagai kawasan sensitif alam sekitar.

"Justeru, kita sudah menjalankan tindakan penguatkuasaan pada Jun lalu dan sebanyak 1,602 premis telah diperiksa, 40 kompaun serta 100 notis amaran telah dikeluarkan," tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai program balingan Em mudball, Hamdan berkata, ia salah satu program yang disenaraikan dalam perancangan jangka pendek pembersihan Sungai Galing.

Katanya, Em mudball ini digunakan bagi merawat kualiti air Sungai Galing yang tercemar.

"Bahan ini mampu mengurai sedimen yang terdapat dalam sungai dan mampu membersihkan sekitar,liter air secara berunsur mengikut tahap pencemaran yang berlaku dalam sungai," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!