Kilang beroperasi elak bekalan terputus

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Impak pandemik Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi global bukan cerita dongeng mahupun imaginasi, tetapi ia realiti yang perlu dihadapi manusia sejagat dan Malaysia tentunya, tidak terkecuali daripada turut terkesan.

Namun, dalam mendepani penularan Covid-19, negara tidak mampu sekadar ‘berpeluk tubuh’ melihat ekonomi terus menguncup sehingga menjejaskan pasaran pekerjaan tempatan dan menyaksikan angka pengangguran meningkat.

Oleh itu, kerajaan mengambil langkah mengimbangi situasi semasa dengan membenarkan pengoperasian sebahagian sektor ekonomi, khususnya bidang pembuatan, dalam usaha memastikan keselamatan kesihatan rakyat dan ekonomi negara terpelihara.

Meskipun berdepan kritikan awam, semua pihak perlu sedar bahawa tindakan kerajaan itu telah memberi ‘nafas’ buat rakyat Malaysia, khususnya pekerja-pekerja sektor pembuatan yang terdiri daripada golongan B40.

Pembukaan lebih banyak premis perniagaan memberi impak positif kepada kelangsungan ekonomi rakyat dan negara.
Pembukaan lebih banyak premis perniagaan memberi impak positif kepada kelangsungan ekonomi rakyat dan negara.

Apa yang penting, usaha ini juga bagi mengekalkan potensi pasaran eksport negara.

Perkara itu pernah disuarakan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menjawab desakan kuat masyarakat yang mempersoalkan kebenaran operasi sektor ekonomi ketika negara dilanda gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Beliau menekankan bahawa jika sektor utama seperti pembuatan tidak dibenarkan beroperasi ia akan menyebabkan gangguan kepada kelangsungan rantaian bekalan global.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini berpotensi menyebabkan pelanggan antarabangsa yang menghadapi gangguan bekalan daripada Malaysia akan beralih kepada negara lain.

Ujar beliau, bukan sesuatu yang mudah untuk mengembalikan pasaran yang telah hilang dan bakal melambatkan pemulihan ekonomi serta menjejaskan pekerjaan baharu.

Pelabur lari

Penganalisis Ekonomi daripada Asia e-Universiti, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor menyifatkan pembukaan kilang-kilang bagi pengeluaran barang berkepentingan adalah perlu kerana sebahagian daripadanya adalah rantaian penawaran bagi produk-produk lain.

Menurutnya, sekiranya operasi sektor pembuatan ini dihentikan, ia boleh menjejaskan produk akhir dan memutuskan rantaian tersebut.

“Bahkan ia mungkin turut akan melibatkan rantaian bersifat global dan boleh mengganggu pengeluaran negara lain.

Dr Shazali Abu Mansor
Dr Shazali Abu Mansor

“Ini dibimbangi akan menjejaskan potensi pelaburan luar ke negara ini kerana pelabur tidak senang dengan situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, kebenaran operasi terhadap kilang-kilang khususnya yang tersenarai dalam 17 sektor perkhidmatan yang dibenarkan adalah wajar selagi ia memenuhi pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah tambahan.

Malah, katanya, kebenaran operasi boleh diberikan kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang mempunyai pekerja bawah 10 orang, termasuk perniagaan yang beroperasi di rumah-rumah kedai.

“Begitu juga dengan kilang-kilang yang banyak menggunakan mesin dan mempunyai kurang pekerja, adalah wajar dibuka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar penggiat industri memainkan peranan besar dan lebih bertanggungjawab dalam memastikan sektor ekonomi khususnya pembuatan tidak terus menyumbang kepada penambahan angka baharu kes Covid-19 sehingga mencetuskan kluster yang akhirnya dipersalahkan sebagai punca kilang dibuka.

Ujar beliau, selagi negara belum mencapai imunisasi kelompok yang disasarkan, majikan perlu memastikan pekerja bagi industri-industri terlibat ini mendapat pelindungan daripada jangkitan.

“Kilang-kilang yang menggunakan insentif buruh perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 secara rawak tiga kali seminggu ke atas lima peratus daripada jumlah pekerja. Jika mempunyai kes positif, operasi perlu ditutup selama 14 hari.

Pertumbuhan Ekonomi 2021.
Pertumbuhan Ekonomi 2021.

“Perkara ini perlu dibuat selagi rakyat belum divaksin sepenuhnya dan ini termasuk perniagaan di pusat beli-belah. Pekerja-pekerja industri ini perlu mendapat dua dos vaksin dengan segera bagi membolehkan perniagaan dijalankan seperti biasa,” katanya.

Dengan pendekatan yang sewajarnya, jelas bahawa kebenaran operasi bagi sektor-sektor ekonomi penting ini adalah perlu, bagi memastikan kelangsungan ekonomi golongan B40 dan ekonomi negara, untuk jangka masa panjang khususnya bagi mendepani pasca pandemik kelak.

Senarai perkhidmatan berkepentingan dibenarkan beroperasi:

1) Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan.

2) Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinary.

3) Air.

4) Tenaga.

5) Pengurusan sekuriti dan keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan.

6) Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan.

7) Pengangkutan melalui darat, air atau udara.

8) Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman dan penyimpanan atau pemukalan komoditi.

9) Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya.

10) Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal.

11) Kredit komuniti pajak gadai sahaja.

12) E-dagang dan teknologi maklumat.

13) Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

14) Hotel dan penginapan hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan.

15) Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

16) Perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar.

17) Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.

Pertumbuhan ekonomi 2021

• Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 (S1 2021) ialah -0.5% dari tahun-ke-tahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4% pada suku keempat 2020 (S4 2020).

• Pertumbuhan S1 2021 ini didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 6.6% (S4 2020: 3.0%) dan sektor pertanian sebanyak 0.4% (S4 2020: -1.0%) dari tahun-ke-tahun.

• Secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi negara telah menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini seperti sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak -5.0% (S4 2020: -10.4%), perkhidmatan sebanyak -2.3% (S4 2020: -4.8%), dan pembinaan sebanyak -10.4% (S4 2020: -13.9%).

Layari untuk maklumat lanjut: