‘MSN 2’ langkah proaktif lahirkan atlet berbakat

Laporan Sukan Sinar pada 11 Ogos lalu.
Laporan Sukan Sinar pada 11 Ogos lalu.
A
A
A

MISI pemburuan emas selain penambahan pingat Sukan Olimpik Paris 2024 memerlukan iltizam dan keazaman politik yang kuat dengan menjadikan industri sukan sebagai antara agenda negara selepas prestasi kurang memberangsangkan kontinjen negara di Tokyo 2020 yang berakhir Ahad lalu.

Malah menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, langkah itu perlu selepas peningkatan prestasi beberapa negara kuasa besar sukan dan juga negara Asia Tenggara yang menambah pingat menerusi atlet muda pada penampilan sulung masing-masing.

“Cadangan penubuhan sebuah badan berkanun persis MSN di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan langkah ke hadapan yang wajar dan penambahbaikan selepas Tokyo 2020 sekiranya kita benar-benar serius mahu melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa depan.

“Pada masa sama jadikan sukan agenda negara yang boleh menjana ekonomi berasaskan industri sukan dan social enterprise mampu merancakkan ekonomi dan menerima pengiktirafan sebagai sebuah negara mempunyai komuniti cergas, sihat dan mendukung integriti dalam kehidupan.

“Membina dan menjana sosial ekonomi sukan negara. Kita mesti berani mencuba kaedah dan tatacara urus tadbir bersifat bersasar dan menyeluruh dalam DNA sukan negara.

“Sememangnya tidak dinafikan KPM menjadi pembekal atlet kepada MSN untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi, namun sekiranya serius memperkasakan tiga sukan sandaran pingat dan menambah lagi sukan prospek pingat Paris 2024 dan Olimpik seterusnya, sewajarnya ditubuhkan 'MSN 2' di bawah KPM bagi memperkemaskan lagi sistem pembangunan sedia ada sekarang,” katanya.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan mantan Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Mazlan Ahmad mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun persis MSN di bawah KPM sebagai usaha menambah baik program pemburuan emas di Paris 2024 selepas kontinjen negara tidak berjaya mencapai sasaran pingat di Tokyo 2020.

Menurutnya, penubuhan 'MSN 2' membolehkan badan itu tidak hanya menambahbaik program sedia ada tetapi juga lebih ruang untuk mendengar masalah pembangunan atlet di peringkat akar umbi.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, selain dapat menambah lebih banyak lagi sekolah sukan sedia pada masa depan menerusi peruntukan khas untuk 'MSN 2', ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah birokrasi dalam kalangan sekolah sukan sebelum ini.

“Mungkin dulu sekiranya masalah fasiliti sukan berprestasi tinggi Olimpik di sekolah kurang diberikan perhatian, namun dengan penubuhan perkara sedemikian akan diberikan perhatian dengan penubuhan 'MSN 2'.

“Bagaimanapun bagi memudahkan DNA sukan lebih cepat meresapi jiwa adalah lebih baik mereka yang menerajui 'MSN 2' ini dipilih dalam kalangan mereka yang berpengalaman dalam bidang sukan.

“Antara yang berpengalaman untuk mengemudi 'MSN 2' adalah Pengarah Pembangunan Sukan MSN, Mohd Safrushahar Yusof, yang mempunyai track record memimpin Jabatan Paralimpik MSN ketika di Rio 2016 lalu,” katanya.

Mengulas berlaku pertindihan atau perbalahan bidang kuasa, Mohd Sadek Mustafa perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM mengadakan perbincangan dan menetapkan garis panduan lebih awal tentang perkara tersebut.

“Sekiranya keazaman politik kuat untuk memastikan tidak hanya pingat emas dapat dijelmakan di Olimpik, tetapi juga pertambahan pingat lain di Olimpik demi maruah negara, isu-isu berkaitan pertindihan tugas atau kuasa merupakan perkara kedua kerana ianya boleh dibawa berbincang. Apa yang lebih penting demi Malaysia,” katanya.