22 penyewa PPR Taman Manggis boleh merayu

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGETOWN - 22 penyewa rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang dikenakan tindakan pengusiran diberi tempoh sehingga 6 Mac ini untuk mengemukakan rayuan mereka.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, tempoh itu diberikan kepada penyewa untuk membolehkan rayuan atau permohonan dibuat kepada Bahagian Perumahan Pulau Pinang untuk pertimbangan.

Menurutnya, kesemua permohonan atau rayuan perlu dibuat sebelum tarikh akhir tersebut.

"Audit berkala mengenai kelayakan penyewa PPR akan dijalankan untuk memastikan bekalan unit yang mencukupi bagi menampung senarai menunggu pemohon yang panjang bagi unit-unit tersebut.

"Selain pembekalan unit kos rendah dan kos sederhana rendah untuk dijual kepada pemohon yang layak, terdapat juga pemohon yang tidak mampu membeli unit-unit tersebut.

"Dalam hal ini, Kerajaan Pulau Pinang telah menyediakan unit bagi pemohon tersebut untuk menyewa. Bagaimanapun, pemohon ini perlu mematuhi syarat-syarat kelayakan yang telah dikenakan oleh Bahagian Perumahan Pulau Pinang," katanya menerusi kenyataan medianya tadi.

Tambahnya, antara sebab kebanyakan penyewa tidak layak untuk menyewa unit tersebut adalah kerana tunggakan pembayaran kos penyewaan dan penyelenggaraan.

"Apabila pendapatan mereka bertambah dan melepasi paras pendapatan yang dibenarkan untuk mengakses unit sewaan tersebut, maka mereka didapati tidak layak untuk menyewa. Selain itu, ada antara mereka yang telah berkahwin dengan orang asing selain penyewa juga didapati mempunyai hartanah sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, tindakan pengusiran perlu diambil kerana bekalan unit sewaan yang tidak mencukupi selain senarai menunggu unit sewa tersebut terus meningkat.

"Sebanyak 1,137 pemohon dalam senarai menunggu di seluruh Pulau Pinang iaitu 734 di daerah Timur Laut yang mana, 494 adalah pemohon bagi Taman Manggis.

"22 daripadanya telah menunggu bagi tempoh yang paling lama untuk PPR Taman Manggis iaitu 10 hingga 11 tahun, manakala 271 pemohon telah menunggu sehingga tujuh tahun. Kita perlu tegas agar berlaku adil terhadap mereka yang sekian lama menunggu untuk menduduki perumahan ini," katanya.

Jagdeep berkata, Pulau Pinang mempunyai bilangan PPR untuk disewa yang paling rendah di negara ini.

"Di negeri ini, bekalan unit sewa rumah tidak mencukupi, dan disebabkan itu, hanya pemohon yang layak sahaja boleh menyewa di perumahan ini.

"Bagaimanapun, sekiranya penyewa tidak layak untuk menyewa disebabkan tunggakan pembayaran kos penyewaan dan penyelenggaraan, kes mereka perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perumahan yang dipengerusikan oleh saya sebelum tindakan diambil.

"Keputusan itu dibuat sejak 2016 walaupun sebelum ini kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mengambil tindakan 'administrative' bagi mengusir mereka," katanya.

Jelasnya, sejak tiga tahun lalu, jawatankuasa tersebut telah bersidang sebanyak 10 kali dan telah mempertimbangkan 839 kes dengan 246 kes telah diambil tindakan.

Terdahulu, 22 penyewa PPR Taman Manggis diusir dari kediaman mereka apabila didapati tidak layak menduduki perumahan tersebut.