Duduk semeja bincang cadangan PM demi kesejahteraan rakyat: NGO

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah pada Sabtu menyeru semua parti politik agar duduk semeja membincangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah, Ag Marjohan Ag Amin berkata, dalam situasi negara masih berdepan pandemik Covid-19 adalah perlu semua tidak kira siapa, pihak mana, kerajaan atau pembangkang, perlu bekerjasama demi menjaga kepentingan rakyat.

"Gencatan politik dan kerjasama bipartisan perlu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada pihak kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan bilangan mangsa-mangsa Covid-19 ini.

Kita tahu dan maklum dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan dan kejayaan kepada perang Covid-19 atau mampu memberi manfaat kepada rakyat," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin mengemukakan tujuh cadangan itu dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, dan pihaknya akan menjemput semua pimpinan parti politik luar Perikatan Nasional (PN) berbincang mengenai cadangan itu minggu depan.

Ag Marjohan berkata, golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan, sehubungan itu menyeru semua pihak untuk bekerjasama membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran ketika ini kesan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, cadangan berkenaan undi 18 dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal, dilihat dapat membawa penglibatan lebih ramai anak muda dalam menentukan kepimpinan negara selain memberi peluang kepada mereka menyampaikan aspirasi dan pandangan.

Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) dalam kenyataannya pula meminta parti politik menghentikan sebarang bentuk percaturan politik dan menyelesaikan ketidakstabilan negara menerusi meja rundingan.

Artikel Berkaitan:

Menurut SEEDS, cadangan reformasi institusi melalui pendekatan yang dicadangkan Muhyiddin akan memberi peluang kepada kerajaan dan pembangkang merangka dan menyusun semula tadbir urus pentadbiran negara seterusnya melaksanakan langkah berkesan menangani kesan Covid-19 untuk rakyat.

"Peluang reformasi sebesar begini seharusnya tidak disia-siakan pembangkang. Apa yang harus dilakukan sekarang ialah bagi kerajaan berbincang dengan pembangkang tanpa mengira perbezaan yang wujud dan memperhalusi cadangan-cadangan ini.

Rangka terma-terma yang dipersetujui bersama bagi memboleh cadangan tersebut dilaksanakan. Kedua-dua pihak hendaklah memulakan langkah pertama berbincang bukan saja cadangan dikemukakan, malah pembangkang boleh menggunakan peluang ini mengemukakan tawaran sendiri," kata kenyataan itu.

Katanya, cadangan itu wajar diberikan pertimbangan serius semua pihak khususnya pimpinan tertinggi parti pembangkang, malah cadangan ini bukan sahaja memastikan kerajaan mampu berfungsi menangani Covid-19 dan krisis ekonomi negara, ia juga permulaan baik mereformasikan pentadbiran dan institusi kerajaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (Presbah), Yahya Ahmad berkata, semua pihak terutama pemimpin parti politik perlu berfikiran matang dan menyambut cadangan itu dengan berlapang dada demi kepentingan rakyat serta negara.

Beliau berkata, ketika negara diuji Covid-19 semua pemimpin parti politik, bermula di Sabah, perlu bersama-sama mewujudkan situasi politik yang stabil dalam negara sehingga semua usaha mencapai imuniti kelompok Covid-19 dapat direalisasikan.

"Rakyat sudah mendapat apa yang patut dari segenap bantuan, pelan-pelan bergerak lancar maka tempoh ingin mengadakan pilihan raya bulan Julai tahun hadapan sudah dikira bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Yahya berkata, suhu politik kini perlu diturunkan terlebih dahulu kerana ia dilihat banyak mengganggu fokus kerajaan dalam menangani isu pandemik Covid-19 di negara ini. - Bernama