Empat pendekatan MAB tangani krisis Covid-19

Wan Zulkiflee ketika program Bicara Bina Negara bertajuk ‘Kepimpinan Dalam Krisis’ menerusi platform media sosial Sinar Harian dan Ikram pada Sabtu.
Wan Zulkiflee ketika program Bicara Bina Negara bertajuk ‘Kepimpinan Dalam Krisis’ menerusi platform media sosial Sinar Harian dan Ikram pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengambil empat pendekatan dalam menangani krisis atau kedudukan syarikat tersebut berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

Pengerusi MAB, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, empat pendekatan tersebut antaranya mendapatkan sokongan daripada pihak pemegang saham dan juga kerajaan kerana tanpa sokongan pihak terbabit amat sukar untuk memulihkan MAB.

“Setakat ini, kita masih mempunyai sokongan daripada Khazanah Nasional Bhd yang merupakan pemegang saham tunggal MAB melalui anak syarikatnya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG).

“Selain itu, kita juga akan memperbaiki kunci kira-kira (balance sheet). Ini bertujuan memastikan kedudukan kewangan MAB kembali stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Bina Negara bertajuk ‘Kepimpinan Dalam Krisis’ menerusi platform media sosial Sinar Harian dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Wan Zulkiflee berkata, pendekatan lain ialah membentuk semula organisasi dengan menetapkan ‘business model’ yang melibatkan perniagaan secara atas talian, e-commerce dan servis penerbangan.

“Kemudian, membentuk semula ekosistem penerbangan Malaysia. Ini penting bagi memastikan syarikat penerbangan terus beroperasi sekali gus mengukuhkan kedudukannya di dalam negara,” katanya.

Wan Zulkiflee sebelum ini mempunyai pengalaman dalam menguruskan krisis terbesar di Petronas ketika harga minyak turun menjadi serendah $26 (RM110.18 sen) setong.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu, Wan Zulkiflee diberi kepercayaan untuk memimpin di beberapa organisasi lain bagi mengharungi ketidaktentuan ekonomi akibat krisis Covid-19 termasuk MAB.

Justeru, Wan Zulkiflee berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memulihkan semula perjalanan udara termasuk industri secara keseluruhan serta meneruskan inisiatif pemuliharaan tunai syarikat penerbangan itu.