Pembaharuan institusi baik, tapi perlu usul undi percaya

BERSIH 2.0
BERSIH 2.0
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyifatkan tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan beberapa pembaharuan institusi sebagai langkah baik dalam kestabilan politik dan demokrasi berparlimen negara.

Bagaimanapun Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) supaya sebuah kerajaan minoriti ini kekal berfungsi tidak boleh hanya datang daripada Muhyiddin semata-mata, tetapi turut melibatkan mereka yang ingin menjadi perdana menteri dan memegang kerajaan selepas ini.

Menurut mereka, kerajaan dan pembangkang juga digesa untuk bersaing di atas dasar pembaharuan bagi membentuk kerajaan yang stabil dan dalam masa sama menyelesaikan kelompangan sistem politik negara.

"Sementara itu, Muhyiddin yang mengakui kehilangan majoriti di Dewan perlu membuktikan semula sokongan di Parlimen dengan usul undi percaya, sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen segera berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Artikel Berkaitan:

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.