Warga emas, kanak-kanak berisiko diserang strok haba

A
A

ALOR SETAR - Kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan paling berisiko diserang strok haba dan kelesuan haba, terutama sepanjang fenomena cuaca panas yang melanda negara pada masa ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan seterusnya cecair dalam tubuh akan berkurangan.

“Keadaan itu seterusnya akan menyebabkan mereka mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan jika terdapat gejala seperti sakit kepala, keletihan, lemah tumpuan, pening, lemah otot atau kekejangan serta mual atau muntah.

"Tanda-tanda lain akibat dehidrasi teruk adalah seperti kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma)," katanya.

Dr Norhizan berkata walaupun Kedah turut terkena tempias fenomena cuaca panas, hasil pemantauan pihak Jabatan Kesihatan negeri mendapati setakat ini tiada sebarang kes penyakit berkaitan cuaca panas yang dirujuk ke hospital.

"Namun orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengamalkan tip penjagaan kesihatan seperti mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah seperti bersukan, atau bekerja di tempat terbuka terutama pada waktu tengah hari.

"Selain itu kita perlu minum air kosong dengan banyak tanpa mengira apa juga aktiviti dilakukan, pakai pakaian yang ringan, terang dan longgar serta kurangkan minuman berkafein, beralkohol dan bergula," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca panas di beberapa kawasan di negara ini akan berlarutan sehingga Mac ini.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia