Warga asing pecut kereta lari dari polis

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Gara-gara rakan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, seorang lelaki warga asing memecut laju kereta yang dipandunya bagi mengelakkan ditahan polis dalam kejadian di Jalan Beringin Pelabuhan Klang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 6.40 petang itu, kereta dinaiki dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Unit peronda MPV ketika menjalankan rondaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Suzuki Swift warna biru dinaiki dua suspek berkenaan. Unit peronda menahan kereta tersebut dengan membunyikan hon dan memasang lampu biru.

"Suspek bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan enggan berhenti, sebaliknya terus memecutkan kenderaan memasuki Taman Kem," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, unit MPV Klang Selatan kemudian mengekori kereta tersebut melalui Persiaran Raja Muda Musa dan memasuki Lebuhraya Persekutuan dan menghala ke Shah Alam.

"Kereta dinaiki dua suspek itu bagaimanapun berjaya ditahan di Jalan Bayam Dua, Seksyen 24 di Shah Alam.

"Pemeriksaan mendapati kereta tersebut dinaiki seorang lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) dan seorang wanita warga Indonesia berumur 47 dan 38 tahun," jelasnya.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek lelaki yang merupakan pemandu kereta tersebut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.