Cukai eksais vape: NGO desak kerajaan maklum pendirian

Enam NGO menerusi satu kenyataan sekali lagi mendesak kerajaan menyatakan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap vape dan kawal selia akan dilaksanakan terhadap produk tersebut.
Enam NGO menerusi satu kenyataan sekali lagi mendesak kerajaan menyatakan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap vape dan kawal selia akan dilaksanakan terhadap produk tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi mendesak kerajaan untuk menyatakan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap vape dan kawal selia yang akan dilaksanakan terhadap produk tersebut.

NGO tersebut adalah Pertubuhan Green Lung Malaysia, Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OCC), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Ikram Health Malaysia.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyuarakan kekesalan selepas tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu tersebut.

"Pihak industri vape dan tembakau baru-baru ini giat memberi cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan mengatakan hasil cukai menyumbang kepada ekonomi negara.

"Cadangan ini bukan sahaja mempercepatkan peningkatan penagih nikotin di negara kita, terutamanya dalam kalangan generasi muda, bahkan juga akan meningkatkan kos perubatan bagi merawat penyakit akibat penggunaan vape.

"Ia secara tidak langsung akan melumpuhkan sistem kesihatan dan seterusnya membebankan ekonomi negara, terutamanya pada waktu pandemik Covid-19 ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dilakukan kerajaan terhadap masalah tersebut mestilah berlandaskan bukti sains kerana ia bakal memberi impak yang besar terhadap sistem kesihatan negara.

"Sebenarnya tiada keperluan bagi vape bernikotin dikawal selia kerana vape bernikotin sudah pun dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

"Namun penguatkuasaan dan pengawalannya sangat longgar," katanya.

Dalam pada itu katanya, cadangan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin hanya satu helah untuk mengecualikan vape bernikotin daripada Akta Racun 1952 supaya sesiapa sahaja boleh menjual dan membeli produk berkenaan.

Jelasnya, implikasi gejala merokok ke atas kesihatan dan beban ekonomi sudah dapat dilihat malah, pengenaan cukai ke atas vape bernikotin seumpama mengulangi sejarah dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

"KKM adalah pelindung bagi kesihatan semua rakyat Malaysia. Selama ini keputusan KKM sentiasa berlandaskan bukti sains, tetapi dalam isu rokok elektronik dan vape, mereka telah memilih untuk berdiam sahaja.

"Tindakan yang tegas dan pantas seharusnya diambil oleh KKM ke atas isu vape bernikotin ini seperti mana mereka menangani isu kesihatan lain.

"Justeru, pihak kami menggesa agar segala keputusan KKM harus mementingkan kesihatan rakyat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan," katanya.