Tak sangka jadi himpunan besar

Pas Pahang tidak sangka menjadi himpunan besar.
Pas Pahang tidak sangka menjadi himpunan besar.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang tidak menyangka program yang pada asalnya dirancang untuk membuat laporan polis isu penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, bertukar jadi himpunan besar.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, daripada sekitar 30 orang, Ibu Pejabat Polis daerah ini dibanjiri dengan kehadiran hampir 2,000 orang, malam semalam.

Menurutnya, mereka datang bagi menyatakan sokongan kepada tindakan laporan polis serta mendesak kerajaan untuk segera mengambil tindakan kepada penghina Rasulullah dan agama Islam.

"Pas Pahang nak buat secara tertutup iaitu sekitar 30 orang ingin melaporkan beberapa kes penghinaan yang dilakukan di media sosial, kebelakangan ini.

"Jemputan dibuat di dalam grup WhatsApp Pas Pahang dan ada antara ahli secara tidak sengaja telah maklumkan menerusi Facebook. Kami tidak sangka ramai yang datang pula untuk memberikan sokongan, sedangkan tiada perancangan untuk membuat perhimpunan.

Antara ahli Pas dan pemimpin yang hadir.
Antara ahli Pas dan pemimpin yang hadir.

"Sebab itu pihak media di Kuantan pun tidak dipanggil. Tak rancang adakan perhimpunan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Walaubagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur kerana kehadiran orang ramai tidak menimbulkan sebarang provokasi dan proses berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada rakaman secara langsung menerusi Facebook orang awam, kelihatan orang ramai melaungkan kalimah Allahuakbar beberapa kali di hadapan IPD Kuantan.

Rosli berkata, sebanyak tiga laporan polis dibuat dan orang ramai bersurai selepas proses selesai.

Terlibat sama membuat laporan adalah Kelab Kembara Motosikal Pahang di bawah kendalian Dewan Pemuda Pas Pahang dan Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang.