Ahli Parlimen DAP ajak pembangkang bincang tawaran Muhyiddin

Kian Ming
Kian Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mahu pembangkang duduk semeja berbincang mengenai tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kian Ming melalui ciapan di Twitternya berkata, cadangan yang dikemukakan itu memberikan impak besar terhadap masa depan politik negara.

"PM @MuhyiddinYassin telah mencadangkan cara untuk bergerak kehadapan dengan beberapa reformasi institusi yang akan memberikan impak terhadap politik Malaysia jika ia diluluskan (di Parlimen).

"Saya berfikir semua parti politik perlu duduk dan berbincang jika sama ada cadangan yang diberikan boleh diterima atau tidak," katanya.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Artikel Berkaitan:

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.