PH ajak semua pihak berunding bentuk kerajaan inklusif

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mengajak semua pihak yang menolak kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berunding untuk membentuk kerajaan yang inklusif, adil dan progresif dengan semua parti dilayan secara adil.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan pada Jumaat berkata, perkara itu penting supaya semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan yang mampu memperbetul segala kepincangan menjelang undi percaya Perdana Menteri di Parlimen bulan depan.

“Ini supaya sebarang pengambilalihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tata kelola dan urus tadbir yang baik serta institusi kehakiman yang bebas,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa mereka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Tambah mereka, PH juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik memuncak.

“Perlu diingatkan penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

“Justeru, Majlis Presiden menjemput semua ahli Parlimen yang menentang dan menolak Muhyiddin untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen,” jelas mereka.

Artikel Berkaitan:

Kata mereka, setakat ini umum sedia maklum hanya 100 ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan 120 lagi tidak menyokong.

“Namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat berharap pemimpin politik dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 serta memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik,” ujar mereka.