Tiga diberkas jadikan kondominium pusat panggilan judi

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua unit kondominium di Wangsa Maju, pada Khamis.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua unit kondominium di Wangsa Maju, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian di dua buah unit kondominium di Wangsa Maju di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kesemua suspek disyaki bekerja sebagai operator untuk mengendalikan akitiviti perjudian dalam talian di kediaman tersebut.

"Kita merampas pelbagai peralatan termasuk tiga unit monitor komputer, tiga unit pemprosesan komputer (CPU), 56 buah telefon bimbit, router, modem dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ashari berkata, kediaman tersebut disewa dengan bayaran RM2,000 sebulan dan mula beroperasi sebagai pusat panggilan sejak awal tahun ini.

"Kesemua suspek diupah untuk membuat panggilan sebagai salah satu cara mempromosikan perjudian dalam talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kita akan melipatgandakan usaha dan melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras dan seterusnya menghapuskan kegiatan pengoperasian judi dalam talian ini.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dan sindiket yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan haram ini," katanya.

Artikel Berkaitan: