Penutupan Pasar Awam Kepala Batas dilanjutkan

Rozali Mohamud
Rozali Mohamud
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 41 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan peniaga dan pekerja Pasar Awam Kepala Batas melalui ujian swab yang dilakukan sebelum ini.

Berikutan itu, arahan penutupan pasar awam berkenaan yang dikeluarkan sebelum ini selama 10 hari bermula 4 Ogos lalu sehingga 13 Ogos dilanjutkan 10 hari lagi atau sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, hasil maklumat yang diperoleh melalui siasatan dan semakan pegawai mendapati, seramai 79 peniaga dan pekerja pasar berkenaan telah menjalankan ujian swab.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 41 kes positif Covid-19 telah dikesan melalui ujian swab (RT-PCR) melibatkan 16 orang peniaga dan 25 orang pekerja atau pembantu peniaga.

"MBSP mengambil keputusan supaya pembukaan semula Pasar Awam Kepala Batas yang ditetapkan pada 14 Ogos atau pada Sabtu ini perlu ditangguhkan terlebih dahulu.

"Penangguhan ini berikutan daripada peningkatan kes positif Covid -19 yang telah dikenal pasti dalam kalangan peniaga dan pembantu perniagaan dan sebagai salah satu langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di Pasar Awam Kepala Batas," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Rozali berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara telah menjalankan pemantauan dan siasatan di Pasar Awam Kepala Batas pada Jumaat.

Katanya, pihak PKD Seberang Perai Utara berpuas hati dengan arahan penutupan pasar awam terbabit berikutan terdapat risiko tinggi penularan wabak Covid-19 di lokasi berkenaan selain membolehkan pihaknya meneruskan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

Artikel Berkaitan:

"MBSP menyeru agar mana-mana peniaga, pembantu dan orang awam yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat serta telah diminta untuk menjalankan ujian swab perlu segera hadir atau menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD SPU) di talian 04-575 1833 bagi mendapatkan janji temu.

"Selain itu, mana-mana peniaga yang ingin menjalankan ujian swab juga boleh berbuat demikian di mana-mana klinik swasta atau melalui Program Penang Saring Covid-19 dan memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperoleh untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, berhubung penutupan Pasar Awam Bukit Mertajam, Rozali berkata, sehingga Jumaat seramai 277 peniaga dan pekerja di pasar itu telah membuat ujian swab Covid-19 dan hasilnya sebanyak 59 kes positif telah dikesan.

Jelasnya, 59 kes positif itu melibatkan 31 orang peniaga serta 28 orang orang pekerja dan pasar awam terbabit juga sebelum ini telah diarahkan tutup selama 10 hari.

"Setelah ditutup selama 10 hari oleh PKD Seberang Perai Tengah, Pasar Awam Bukit Mertajam akan dibenarkan beroperasi semula bermula Sabtu setelah semua peniaga dan pekerja telah melepasi tempoh inkubasi Covid-19.

"Bagaimanapun, MBSP memberi amaran tegas dan mengingatkan supaya mana- mana peniaga atau pembantu sekiranya masih berada dalam pengawasan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan belum tamat tempoh kuarantin adalah tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti di dalam Pasar Awam Bukit Mertajam bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan selanjutnya diambil," katanya.

Selain itu, Rozali berkata, mana-mana pembantu yang disahkan positif manakala pihak majikan (pemilik premis) pula negatif ujian swab, pihak majikan tersebut turut diminta untuk menutup sementara operasi jualan mereka selama 10 hari bermula dari tarikh pembantu mereka disahkan positif Covid-19.

Katanya, arahan ini dibuat bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran semula virus Covid-19 di lokasi tersebut.