Dua tokan ditahan di Ladang Getah

Salah seorang daripada suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan.
Salah seorang daripada suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Enam lelaki termasuk dua disyaki 'tokan' dadah ditahan menerusi satu serbuan di satu Ladang Getah di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Norazam Shaari berkata, tangkapan dilakukan antara jam 3.30 hingga 6 petang susulan maklumat diterima berkenaan lokasi tersebut yang sering dijadikan lubuk penagih.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 39 hingga 47 tahun.

"Polis telah menahan enam lelaki yang mana dua daripadanya disyaki pengedar dadah. Pemeriksaan lanjut juga menemui sejumlah dadah dalam pemilikan mereka.

"Dadah yang ditemui adalah heroin dengan anggaran berat kasar 27.26 gram dan syabu 0.61 gram," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Norazam berkata, ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat.

Beliau berkata, perintah reman bagi membantu siasatan untuk kesemua suspek juga sudah diperoleh membabitkan dua seksyen yang berbeza.

"Dua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 akan direman selama enam hari sehingga 5 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

"Manakala, empat lagi suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akan direman selama tiga hari," katanya.