Dua kampung orang asli terima bekalan air terawat

Pelaksanaan projek pengagihan bekalan air terawat di dua perkampungan orang asli di Bukit Lagong, Gombak dan Bukit Kechil, Kuala Langat.
Pelaksanaan projek pengagihan bekalan air terawat di dua perkampungan orang asli di Bukit Lagong, Gombak dan Bukit Kechil, Kuala Langat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan projek pengagihan bekalan air terawat kepada dua perkampungan orang asli di Bukit Lagong, Gombak dan Bukit Kechil, Kuala Langat.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, seramai 280 pengguna di dua perkampungan tersebut menerima manfaat dalam usaha memastikan semua rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat bekalan air terawat yang bersih dan selamat.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu telah bermula pada 9 November tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 9 Mac lalu.

"Objektif projek ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan liputan bekalan air terawat kepada dua kampung orang asli yang sebelum ini hanya mendapatkan bekalan air daripada sumber semula jadi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Elina berkata, projek berkenaan juga selari dengan aspirasi Air Selangor dalam mendukung salah satu Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6).

"Menerusi projek ini, Air Selangor telah melaksanakan pemasangan sistem perpaipan di kawasan yang terlibat untuk menyalurkan bekalan air daripada sumber air terawat yang berdekatan," jelasnya.

Menurut beliau, inisiatif itu juga bertujuan untuk memastikan penduduk di kedua-dua perkampungan tersebut mempunyai bekalan air alternatif untuk digunakan ketika musim kemarau.

"Projek ini juga merupakan sebahagian daripada program 'Extension of Supply - Towards 100% Supply Coverage' yang memberi tumpuan khusus dalam menyediakan infrastruktur perpaipan ke kawasan-kawasan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan komitmen berterusan Air Selangor di bawah pelan perniagaan 30 tahunnya dalam memastikan bekalan air yang bersih, selamat dan lestari untuk semua pengguna," ujarnya.

Menerusi program itu juga, katanya, beberapa kawasan penting telah dikenal pasti dan pelaksanaan pemasangan sistem perpaipan dan meter air akan dilaksanakan mengikut perancangan yang telah dijadualkan.