10 laporan polis dibuat bantah perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’

Mohd Zai (kiri) menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohd Zai (kiri) menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh badan bukan kerajaan, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) untuk membantah penganjuran perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang akan diadakan pada 21 Ogos ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan yang lebih tegas diperlukan untuk menghalang demonstrasi haram itu daripada berlangsung.

“Polis mesti ambil tindakan awal dan lebih tegas kerana perhimpunan ini jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman, Akta 342 dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Khamis.

Menurutnya, Ummah tidak pernah menghalang penganjuran perhimpunan malah mereka sendiri pernah menganjurkan demonstrasi aman, tetapi pada ketika negara dilanda wabak Covid-19 adalah tidak wajar untuk sesiapa sahaja berhimpun.

“Nanti kalau Covid-19 sudah aman, jika mereka mahu berhimpun satu Kuala Lumpur pun tiada masalah,” katanya

Sehubungan itu, Mohd Zai menggesa pihak polis untuk bertindak dengan lebih tegas kerana perhimpunan tersebut hanya akan mendatangkan lebih mudarat kepada petugas barisan hadapan, rakyat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya harap pihak polis kalau perlu, tangkap sahaja penganjur yang terlibat. Hari ini angka jangkitan sudah cecah 21,000, saya khuatir mereka yang berhimpun ini nanti jadi penyebar Covid-19 dan menjadi masalah kepada orang lain pula,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: