Lebih RM941 juta disalur menerusi elaun khas barisan hadapan

Sejumlah RM941.38 juta elaun khas barisan hadapan telah disalurkan setakat 30 Julai lalu. - Foto fail Bernama
Sejumlah RM941.38 juta elaun khas barisan hadapan telah disalurkan setakat 30 Julai lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM941.38 juta elaun khas barisan hadapan telah disalurkan setakat 30 Julai lalu.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu berdasarkan 2,580,506 tuntutan daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta pembendungan wabak Covid-19.

“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-65 pada Khamis.

Dalam pada itu beliau berkata, RM4.37 juta telah disalurkan kepada 535 penerima menerusi Inisiatif Pemulihan Cendana setakat 30 Julai.

Bagi inisiatif itu, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta yang dijangka memanfaatkan 3,000 penerima daripada kalangan seniman dan organisasi dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

Selain itu Tengku Zafrul berkata, 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan bagi tempoh sama.

Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit. - Bernama

Artikel Berkaitan: