Perlu vaksin lengkap untuk 'dine-in'

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

LABUAN - Hampir kesemua lebih 100 kedai makan di pulau bebas cukai di sini melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) hanya yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan makan di premis (dine-in) sebagaimana disarankan oleh kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata, peraturan baharu yang selaras dengan kelonggaran diberi kerajaan kepada individu yang lengkap divaksin Covid-19 sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lalu itu, diterima baik oleh pengusaha makanan dan minuman (F&B).

“Berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, kami gembira dengan kerjasama daripada pengusaha F&B di sini terhadap SOP makan di premis dan ini selari dengan usaha CITF Labuan menjadikan Labuan sebagai zon hijau Covid-19,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di Labuan Fishermen Wharf Restaurant and Living Room (bistro) di Hotel Dorsett Grand di sini pada Khamis.

Pemeriksaan mengejut itu inisiatif oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan yang turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis Labuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (pejabat Labuan) serta wakil media tempatan.

Beliau berkata, jawatankuasa juga mendapati semua pengusaha premis F&B dan pekerja mereka telah lengkap divaksin.

“Pelbagai dewan perniagaan di sini juga memberi kerjasama rapat dengan memastikan ahli mereka yang menjalankan operasi F&B melaksanakan SOP makan di premis ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan Datuk Dahlif Singh memberitahu Bernama, notis nasihat telah diedarkan kepada semua 18 pengusaha F&B India supaya melaksanakan SOP hanya yang lengkap divaksin dibenarkan makan di premis.

“Kami mahu semua restoran India ini memastikan pengusaha dan pekerja lengkap divaksin sebelum membuka semula operasi perniagaan mereka dan dewan kami juga mahu sijil vaksin digital yang mengesahkan bahawa pengusaha dan pekerja di premis terbabit telah lengkap divaksin Covid-19 digantung di dinding premis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Labuan memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 4 Ogos lalu dengan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali yang disenaraikan dalam ‘senarai negatif’ seperti pengusaha perkhidmatan pedicure dan manicure, refleksologi dan kelab malam.

Labuan telah memberi vaksin sepenuhnya kepada 80 peratus penduduk dewasanya pada 27 Julai, dan menjadikan Labuan sebagai negeri dan Wilayah Persekutuan yang pertama mencapai imuniti kelompok bagi mengekang pandemik C-19.

Sehingga 11 Ogos, Wilayah Persekutuan Labuan telah memberi imunisasi kepada 62,213 atau 90.82 peratus daripada 68,500 penduduk dewasa yang layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). - Bernama