Dua sindiket dadah tumpas, syabu lebih RM1.24 juta dirampas

Ayob Khan menunjukkan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Ayob Khan menunjukkan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas 34.69 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.24 juta dalam operasi khas diadakan di Batu Pahat dan Seri Alam di sini pada awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi di Batu Pahat yang melibatkan tiga serbuan dilakukan dari jam 12 tengah malam pada 7 Ogos hingga 3 pagi pada 8 Ogos.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.

"Susulan itu, pihak polis melakukan dua lagi serbuan berasingan dan menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri berusia 30 hingga 43 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 29.48kg dianggarkan bernilai RM1.06 juta dan menyita wang tunai RM30,210," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Ayob Khan berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah.

Tambah beliau, semakan rekod lampau juga mendapati suspek yang mula aktif dalam jenayah itu sejak bulan lalu mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengambil bekalan dadah dari Pendang, Kedah untuk pasaran negara jiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, menerusi operasi khas di Seri Alam pada 3 Ogos lalu, pihaknya merampas 5.21kg syabu bernilai RM187,848.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 40 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut memiliki rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah dan jenayah.

"Sindiket yang telah beroperasi sejak awal tahun ini juga memasarkan bekalan dadah mereka untuk pasaran tempatan sekitar bandar raya ini," katanya.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah kenderaan; wang tunai RM4,810; pelbagai barangan kemas dan akaun bank bernilai RM100,000.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua kes adalah RM1.789 juta, manakala bekalan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 173,450 penagih.

"Kesemua suspek dikenakan tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.