Program MM2H diaktifkan semula

Wan Ahmad Dahlan (tengah) pada sidang mrdia khas mengrnaj Program MM2H di KDN pada Rabu.
Wan Ahmad Dahlan (tengah) pada sidang mrdia khas mengrnaj Program MM2H di KDN pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakifkan semula Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bermula Oktober ini dengan memperkenalkan siling bilangan peserta pada satu-satu masa tidak melebihi satu peratus jumlah warganegara Malaysia.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz berkata, penetapan itu kerana kerajaan memahami akan kegusaran rakyat mengenai kemasukan warga asing melalui program itu yang dikhuatiri akan menambah lambakan warga asing di negara ini.

"KDN memberi jaminan bahawa hanya peserta yang berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah akan dibenarkan untuk menyertai program ini.

"Tatacara permohonan Program MM2H juga akan ditambahbaik dengan mewujudkan satu sistem secara dalam talian bagi tujuan permohonan, pemprosesan dan pangkalan data profil peserta MM2H," katanya pada sidang media khas mengenai perkara itu di KDN pada Rabu.

Sebelum ini permohonan untuk menyertai Program MM2H dibekukan bagi memberi ruang kepada KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengkaji serta menilai semula secara komprehensif Program MM2H.

Ia ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu yang menyaksikan dasar penutupan sempadan negara turut dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang dibawa daripada kemasukan warga asing ke dalam negara.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, Jemaah Menteri pada 14 Julai dan 30 Julai lalu telah bersetuju dengan cadangan penambahbaikan dasar baharu Program MM2H sebagai salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pogram Pemulihan Negara (PPN) bagi menjana semula ekonomi negara.

Beliau memberitahu, permohonan baharu bagi program berkenaan akan diproses serta dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mulai Oktober ini setelah semua proses berkaitan perundangan selesai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi, syarat-syarat penyertaan Program MM2H dalam dasar baharu itu telah ditambah baik setelah mengambil kira beberapa pandangan kementerian dan agensi kerajaan.

"Syarat-syarat tersebut adalah keberadaan atau kemastautinan di Malaysia sekurang-kurangnya selama 90 hari (kumulatif) dalam setahun.

"Ini adalah bagi memastikan peserta-peserta MM2H benar-benar berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi dalam negara sama ada dalam bentuk sewaan atau pembelian hartanah, perkhidmatan kesihatan, insurans, pendidikan, perbelanjaan makan-minum, pelancongan domestik dan lain-lain yang seterusnya akan menjana pendapatan kepada rakyat tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan menjelaskan, pendapatan luar negara (offshore income) peserta MM2H perlu sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini.

"Berbanding syarat pendapatan sedia ada, syarat pendapatan baharu itu adalah lebih relevan kerana kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan dan berpendapatan tinggi.

"Pemilikan akaun simpanan tetap peserta juga perlu sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak," katanya.

Wan Ahamd Dahlan menambah, umur pemohon yang layak memohon Program MM2H juga dipecahkan kepada dua kategori pemohon iaitu 35 hingga 49 tahun dan 50 tahun dan ke atas.

"Kerajaan akan memperkenalkan kategori umur 35 hingga 49 tahun bagi tujuan memilih peserta yang benar-benar berkualiti yang lebih stabil dari segi pendapatan dan mempunyai kerjaya tetap.

"Syarat ini diperkenalkan selaras dengan peredaran masa dan melihat kepada kejayaan program seumpama Program MM2H yang memberi kesan limpahan ekonomi kepada negara jiran iaitu Thailand dan Filipina," katanya.

Beliau menegaskan, tempoh pas lawatan sosial jangka panjang Program MM2H adalah lima tahun dan boleh dilanjutkan selama lima tahun dan seterusnya selagi peserta berminat yang tertakluk kepada syarat permohonan berbanding 10 tahun sebelum ini.

"Syarat seterusnnya membabitkan pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, kadar fi pas dari RM90 pula dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses dikenakan sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

"Pembaharuan pas, pertukaran prinsipal, pertukaran kewarganegaraan peserta dan tanggungan juga perlu menjalani dan lulus tapisan keselamatan.

"Semasa membuat permohonan untuk program ini juga peserta perlu mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (Letter of Good Conduct) untuk semua peserta dan tanggungan," katanya.

Jelasnya, fungsi mempromosi Program MM2H dan jenamanya akan terus dipergiatkan lagi melalui penglibatan MOTAC dan agensi Tourism Malaysia dalam memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi inap jangka panjang terutama kepada pesara-pesara dan personaliti berpendapatan tinggi.

"MOTAC adalah rakan penting dalam kejayaan pelaksanaan Program MM2H terutamanya dalam aspek pemasaran global.

"Selain itu, ejen-ejen pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC juga akan turut membantu melaksanakan strategi promosi Program MM2H berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh MOTAC," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan dasar baharu Program MM2H ini akan terpakai kepada semua permohonan baharu dan permohonan pelanjutan bagi peserta sedia ada yang telah dan akan tamat tempoh sah pas MM2H.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau memberitahu, pelaksanaan Program MM2H dan kemasukan peserta program ke Malaysia masih tertakluk kepada dasar dan prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.

"Setakat ini, jumlah peserta MM2H yang telah diluluskan adalah seramai 57,478 orang termasuk tanggungan yang dibawa oleh pemegang pas MM2H," ujarnya.