X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

8,775kg minyak masak bersubsidi dirampas

Antara premis yang diserbu menerusi serbuan yang dijalankan.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di dua premis di sekitar negeri ini dengan merampas 8,775 kilogram minyak masak bersubsidi pada Selasa.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, menerusi serbuan dijalankan pihaknya berjaya merampas 18,000 kilogram(kg) minyak masak dengan 8,775 kilogram(kg) daripadanya merupakan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram.

"Siasatan awal dijalankan mendapati paket 1 kilogram (minyak masak bersubsidi) dipotong dan dipindahkan ke dalam sebuah skid tank di dalam premis terbabit sebelum diproses semula ke dalam pek pembotolan (tidak bersubsidi).

"Tindakan ini bertujuan mengaut keuntungan tinggi yang tidak sah melalui penjualan minyak masak berbotol yang lebih tinggi harganya berbanding minyak masak paket 1 kilogram," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan turut mendapati sebuah stor disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit bagi kerja-kerja pemindahan minyak masak bersubsidi paket 1 kg ke dalam skid tank untuk proses pembotolan.

"Modus operandi sindiket ini adalah menghantar minyak masak bersubsidi (1 kg) ke lokasi yang telah diserbu untuk dipek semula dalam bentuk botol bersaiz 2 kg.

"Sindiket ini juga disyaki melakukan pembotolan semula bagi pek 5 kg berdasarkan penemuan botol-botol minyak masak 5 kg kosong di lokasi yang sama," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak bersubsidi tersebut sepatutnya diedarkan kepada pemborong dan peruncit berlesen di sekitar Lembah Klang.

Antara minyak masak bersubsidi yang dirampas ketika serbuan.
Antara minyak masak bersubsidi yang dirampas ketika serbuan.

"Namun ia telah diseleweng dan dibawa ke lokasi sasaran untuk dipek kembali dalam bentuk botol sebelum diedar ke pasaran dalam negara dan dipercayai juga untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menahan lima individu dalam serbuan yang dijalankan itu.

"Empat warga tempatan dan seorang warga asing disyaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun telah ditahan yang dikenal pasti sebagai pemilik premis bagi membantu siasatan.

"Selain itu, dua buah lori, sebuah skid tank dan sebuah forklift yang digunakan dalam aktiviti tidak beretika itu turut dirampas selain sejumlah plastik minyak masak 1 kg yang dipotong dan botol minyak masak yang digunakan untuk membuat pemindahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM245,000," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) PPKB 1974 serta akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!