Penduduk Malaysia meningkat 32.66 juta, lelaki lebih ramai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk Malaysia kini meningkat 0.2 peratus kepada 32.66 juta orang pada suku tahun kedua 2021, berbanding suku tahun kedua 2020 tahun lalu iaitu 32.58 juta orang.

Data anggaran penduduk itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk ini merangkumi 29.96 juta orang atau 91.8 peratus warganegara dan 2.69 juta orang atau 8.2 peratus bukan warganegara.

"Komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2021.

"Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data penduduk ini adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian serta migrasi bersih.

Data ini bagaimanapun akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.

Selain itu Mohd Uzir berkata, data pada suku tahun kedua 2021 menunjukkan penduduk lelaki kini berjumlah 16.77 juta orang melebihi penduduk perempuan iaitu 15.88 juta orang menjadikan nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Artikel Berkaitan:

Bagi nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.29 juta kepada 2.40 juta bagi tempoh yang sama, yang mana trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk.

“Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pula menurun daripada 7.58 juta pada suku tahun kedua 2020 kepada 7.51 juta pada suku tahun kedua 2021, manakala penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.71 juta (suku tahun kedua 2020) kepada 22.74 juta pada suku tahun kedua tahun ini,” ujarnya.

Tambah beliau, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun kedua 2021 ialah Selangor dengan 20.1 peratus, diikuti oleh Sabah (11.7 peratus) dan Johor (11.6 peratus).

Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus.

“Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.

“Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita.

“Data yang dikumpulkan melalui Banci Malaysia 2020 sangat berguna untuk kajian sosio demografi dan aspek-aspek lain seperti penggubalan dasar dan perancangan untuk memantau trend demografi dan program pelaksanaan, begitu juga untuk penyelidikan dan kajian ilmiah mengenai hubungan antara trend kesuburan dan kematian dan pembangunan sosio ekonomi,” jelasnya.