Penduduk Perlis jangan lalai SOP

Gambar dari kiri: Mohd Fahimie, Mohd Rozailmee
Gambar dari kiri: Mohd Fahimie, Mohd Rozailmee
A
A
A

KANGAR - Kebebasan yang dinikmati oleh rakyat Perlis susulan pelaksanaan Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Rabu diharap tidak melalaikan penduduk negeri berkenaan.

Seorang usahawan, Mohd Rozailmee Zulkeply, 38 berkata, kebenaran makan di kedai antara pelaksanaan yang disambut baik oleh peniaga mahupun pembeli.

Beliau berkata, para peniaga khususnya mampu menarik nafas lega kerana dapat meningkatkan semula pendapatan mereka berbanding hanya bergantung kepada jualan secara bawa pulang sahaja sebelum ini.

"Walau bagaimanapun saya ingin mengingatkan semua penduduk negeri ini agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus tidak menjadi salah satu punca kes di Perlis kembali meningkat.

"Sudah lama kita semua menantikan saat ini, jadi kita sepatutnya lebih bersyukur dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Pemilik Asputra Ikan Bakar di Kuala Perlis, Mohd Fahimie Hassan, 30 berkata, kawasan Kuala Perlis yang masih merekodkan kes jangkitan Covid-19 menyebabkan ramai peniaga masih mengambil langkah berhati-hati.

"Ramai pemilik restoran memantau keadaan semasa Covid-19 sebelum membuat keputusan untuk kembali beroperasi. Semalam (Khamis) pun saya lihat hanya sebuah restoran ikan bakar yang dibuka.

"Ada juga kedai makan di kawasan berdekatan yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai, mungkin kerana kawasan ini masih merekodkan kes jadi mereka mengambil langkah berjaga-jaga," katanya yang akan memulakan operasi restorannya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, dia turut berharap pelanggan yang menjamu selera di restoran tidak ingkar terhadap SOP yang telah digariskan.

"Dalam isu sebegini, ia lebih kepada sikap pelanggan itu sendiri, kadang-kadang ada yang kita hadkan semeja dua orang, tetapi ada juga yang hendak duduk bertiga.

"Jadi saya harap pelanggan lebih peka dengan perkara sebegini supaya kita dapat mengekang penularan Covid-19 di negeri ini," katanya.

Mohd Fahimie turut mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat Perlis khususnya di kawasan yang mempunyai penularan wabak Covid-19.

"Setidak-tidaknya keselamatan semua pihak terutamanya peniaga lebih terjamin untuk terus beroperasi kerana ada perlindungan tambahan selain daripada amalan SOP yang ketat," katanya.

Sejak Rabu media sosial seperti facebook dan Instagram dipenuhi dengan gambar penduduk negeri berkenaan yang berkongsi kegembiraan setelah dibenarkan makan di kedai bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

Pada Khamis, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, kerajaan negeri berharap rakyat Perlis tidak lalai dan sentiasa mengutamakan SOP supaya negeri ini dapat bebas dari pandemik Covid-19.